KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) secara mutlak antara 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035 menerusi komitmen iklim negara di bawah Sumbangan yang Ditentukan di Peringkat Negara (NDC) 3.0.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sasaran itu merupakan antara langkah penting bagi memperkukuh usaha mitigasi perubahan iklim, selain menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited menangani cabaran perubahan iklim melalui pelaksanaan dasar dan strategi jangka panjang yang menyeluruh, selaras dengan aspirasi mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian alam sekitar dengan pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, kerajaan telah menggariskan hala tuju perubahan iklim negara melalui Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0), Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) serta komitmen pengurangan pelepasan gas rumah kaca negara setiap lima tahun sekali yang dinamakan sebagai NDC.
“NDC 3.0 telah dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada Oktober 2025,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan mengenai dasar jangka panjang kerajaan dalam menangani perubahan iklim serta tarikh pelaksanaan cukai karbon yang ditangguhkan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi rendah karbon.
Dalam aspek perundangan, Syed Ibrahim berkata, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara bagi menyediakan kerangka lebih menyeluruh untuk melaksanakan langkah mengurangkan pelepasan serta menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
“RUU itu juga bertujuan memperkukuh kaedah pengukuran, pelaporan dan pengesahan pelepasan gas rumah kaca, di samping meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti dalam pelaksanaan komitmen iklim negara.
”Kerangka ini dirancang secara berperingkat dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri supaya peralihan kepada ekonomi rendah karbon tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN











