Mahasiswa jangan terlalu bergantung pada AI

Mahasiswa jangan terlalu bergantung pada AI

MAHASISWA perlu menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengembangkan pemikiran, bukan menggantikan usaha memahami ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM mahasiswa menjejak kaki ke menara gading kembali lagi. Pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) membuka pintu kepada mahasiswa baharu yang hadir bersama impian dan harapan.

Selain ibu bapa, keluarga serta sahabat, mahasiswa turut ditemani perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Ilmu tanpa amal bagai pohon tidak berbuah. Begitu juga kejayaan akademik yang tidak lahir melalui jalan pintas, sebaliknya menuntut kesungguhan, kesabaran dan usaha berterusan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam suasana ini, kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, Gemini dan Claude semakin dekat dengan kehidupan mahasiswa. Dalam beberapa saat, teknologi ini mampu membantu meringkaskan jurnal, menjana idea, menyemak tatabahasa dan menerangkan sesuatu konsep.

Namun, kemudahan itu ibarat pisau bermata dua.

Jika digunakan dengan betul, AI boleh menjadi pemangkin pembelajaran. Mahasiswa yang buntu memilih tajuk projek, misalnya, boleh menggunakan AI untuk mendapatkan cadangan awal sebelum membaca, berbincang dengan penyelia dan menentukan fokus kajian. 

Mereka yang lemah dalam statistik pula boleh meminta penerangan mudah serta latihan tambahan.

Dalam pendidikan teknik dan vokasional, AI turut membantu menyelesaikan ralat pengaturcaraan, merancang kerja amali dan memahami situasi industri. Namun, AI bukan sumber yang maksum. Jawapan yang kelihatan meyakinkan boleh mengandungi fakta, statistik, nama pengarang atau rujukan yang sebenarnya tidak wujud.

Bahaya lebih besar berlaku apabila mahasiswa sendiri mula berhalusinasi, iaitu menyangka dirinya memahami sesuatu hanya kerana mampu menghasilkan tugasan yang kemas. Jika seluruh proses berfikir diserahkan kepada mesin, ilmu tidak benar-benar berkembang.

Majikan bukan sekadar melihat kebolehan menghasilkan tulisan tetapi menilai keupayaan berfikir kritis, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

Justeru, pelajar perlu menjadikan AI sebagai rakan berbincang, bukan penulis upahan. Pensyarah pula boleh membina penilaian yang menuntut pemikiran asli melalui refleksi, analisis, pembentangan dan kerja amali. 

Sementara penasihat akademik perlu membantu mengesan kebergantungan berlebihan, manakala ibu bapa terus memupuk nilai usaha, kesabaran dan kejujuran.

AI tidak menentukan masa depan mahasiswa. Cara mereka menggunakannya yang menjadi penentu. Di tangan yang berfikir, AI menjadi obor ilmu. Sebaliknya, tanpa pertimbangan, teknologi yang sama boleh menjadi bayang-bayang yang menyesatkan. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MD. ASRUL NASID MASROM

Dekan,

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini