KUALA LUMPUR: Pengacara dan pendakwah bebas, Amin Idris, menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergaulan serta perkembangan pegangan agama anak-anak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan fahaman spiritual yang didakwa bercanggah dengan akidah Islam.
Amin berkata, kemunculan gerakan spiritual rentas agama yang membawa kepercayaan bahawa semua agama adalah sama perlu diberikan perhatian serius kerana berpotensi mengelirukan umat Islam, khususnya golongan muda.
Mengulas isu membabitkan seorang individu, Amin mendakwa lelaki berkenaan terlibat dengan pelbagai amalan spiritual yang dikaitkan dengan gerakan New Age, termasuk ritual keagamaan rentas agama dan ramalan menggunakan kad Tarot.
“Kesesatan dan kejahilan nyata apabila wujud kepercayaan bahawa semua agama adalah sama. Dia dilahirkan sebagai Melayu Islam, manakala ibu bapanya juga Melayu yang berasal dari Kedah dan dia membesar di Melaka.
“Menurut Masyitah Asyari, individu ini mempelajari pelbagai kepercayaan spiritual dan New Age. Cuma, pendekatan yang dibawanya bukan versi New Age Islamik, sebaliknya benar-benar berasaskan ajaran spiritual rentas agama,” katanya menerusi Threads.
Amin turut mendakwa individu berkenaan bukan sahaja dikaitkan dengan amalan membabitkan objek keagamaan Buddha, Hindu dan Kristian, malah melakukan ritual pemujaan terhadap Nyi Roro Kidul, yang dikenali sebagai dewi dalam kepercayaan masyarakat Jawa, di Cepuri Parangkusumo, Yogyakarta, Indonesia.
Menurutnya, amalan membaca kad Tarot yang dikaitkan dengan individu itu juga perlu diberikan perhatian kerana sering digunakan dalam gerakan New Age untuk tujuan ramalan dan tilikan nasib.
“Apa yang dia lakukan merupakan teknik dalam gerakan New Age. Kaedah ini tiada bezanya dengan amalan tilik nasib yang dilakukan oleh dukun, sedangkan amalan sedemikian bercanggah dengan pegangan akidah Islam.
“Di kediamannya juga kelihatan terdapat azimat organite yang terkenal dalam lingkungan New Age. Perkara ini menunjukkan perlunya masyarakat memahami bentuk kepercayaan spiritual yang diamalkan dan kesannya terhadap pegangan akidah,” katanya.
Selain itu, Amin turut membangkitkan kenyataan individu itu dalam sebuah podcast yang didakwa menyebut dirinya hanya berkawan dengan dewa-dewa, syaitan dan jin tanpa meminta pertolongan daripada mereka.
“Dalam podcast itu, antara hujahnya ialah dia hanya berkawan dengan dewa-dewa, syaitan dan jin. Dia mendakwa tidak meminta pertolongan daripada mereka. Jadi, persoalannya, mengapa perkara seperti ini dianggap tidak menjadi masalah?
“Ini pemikiran dan gerakan yang sangat berbahaya. Masyarakat, khususnya golongan muda, perlu memahami batas akidah dan tidak mengambil mudah perkara yang boleh menjejaskan pegangan agama,” katanya.
Sehubungan itu, Amin mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan kecenderungan anak-anak terhadap kepercayaan spiritual yang meragukan, sebaliknya memberikan bimbingan agama secara berterusan bagi memastikan mereka mempunyai kefahaman akidah yang kukuh.
Dia turut menggesa pihak berkuasa agama negeri supaya meneliti perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran terhadap undang-undang atau ketetapan agama yang berkuat kuasa.
“Saya difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, telah membuat kenyataan berhubung tindakan tegas. Kita juga memohon pihak berkuasa agama negeri bertindak pantas dan tegas kerana hal ehwal agama Islam berada secara langsung dalam bidang kuasa negeri.
“Buat ibu bapa, awasi anak-anak kita daripada gerakan dan kepercayaan sesat sebegini,” katanya.
Terdahulu, pendedahan terbaharu membabitkan seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun yang didakwa mengamalkan pelbagai ritual keagamaan, ramalan kad Tarot dan kepercayaan spiritual lain termasuk ajaran New Age Movement (NAM) menggemparkan masyarakat.
Pendedahan itu dibuat satu per satu menerusi hantaran Facebook yang menggunakan nama akaun Masyitah Ashari sejak beberapa hari lalu.











