KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah menguruskan risiko kebergantungan eksport negara terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E) dengan mempelbagaikan rantaian nilai industri, sumber pertumbuhan ekonomi serta pasaran eksport.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kesan sekiranya berlaku kemerosotan kitaran industri semikonduktor global yang boleh menjejaskan prestasi eksport negara.
Katanya, walaupun sektor E&E dan semikonduktor merupakan antara kekuatan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, kebergantungan tinggi terhadap industri itu turut mendedahkan negara kepada risiko kelembapan ekonomi global, perubahan teknologi, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik.
“Ia mencerminkan kedudukan ekosistem perindustrian dan kedudukan Malaysia yang berdaya tahan dalam rantaian nilai semikonduktor global. Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari risiko yang timbul daripada kebergantungan yang tinggi kepada sektor ini.
”Industri semikonduktor bersifat kitaran, manakala permintaan global turut dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi, perubahan teknologi, gangguan rantaian bekalan, serta perkembangan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan teknologi dan oleh ekonomi utama.
“Sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam kitaran semikonduktor global, ia sudah tentu berpotensi menyebabkan pelarasan inventori dan pengurangan pengeluaran, sekali gus memberi tekanan kepada eksport E&E dan prestasi eksport negara secara keseluruhan.
“Risiko ini lebih ketara sekiranya pertumbuhan sektor keseluruhan risiko ini lebih ketara sekiranya pertumbuhan sektor eksport lain tidak mencukupi untuk mengimbangi kejatuhan ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) meminta kerajaan menyatakan risiko kebergantungan eksport negara kepada sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang hampir separuh eksport, serta strategi kepelbagaian sekiranya kitaran semikonduktor global merosot.
Ketika ini, sektor E&E menyumbang 48.4 peratus atau RM656.14 bilion daripada jumlah eksport negara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sekali gus mencerminkan kepentingan industri itu dalam struktur perdagangan Malaysia.
Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga strategi utama, iaitu memperkukuh rantaian nilai E&E menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), mempelbagaikan sektor pertumbuhan ekonomi serta memperluas pasaran eksport.
Katanya, usaha memperkukuh rantaian nilai E&E akan memberi penekanan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi dan berintensifkan teknologi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC).
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut memperluas sumber pertumbuhan menerusi sektor farmaseutikal, automotif, aeroangkasa, peranti perubatan, halal, kimia dan petrokimia bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sektor utama.
“Secara keseluruhannya, mengikut keseluruhannya, NIMP 2030 merangkumi 21 sektor dengan matlamat meningkatkan kompleksiti ekonomi terhadap industri-industri ini nilai tambah yang tinggi serta peluang pekerjaan bergamaian, termasuk sebahagian daripada sektor perkhidmatan, yang ini telah menyumbang 897 bilion pada tahun 2025,” katanya.
Selain itu, kerajaan akan mempelbagaikan destinasi eksport dengan meneroka pasaran baharu termasuk Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tertentu. – UTUSAN











