KUALA LUMPUR: Pelakon Sophia Albarakbah gembira apabila peminat kini lebih menilai hasil lakonan berbanding kisah peribadi yang tidak berkenaan dengan kerjaya seni.
Sophia atau nama lengkapnya, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 33, berkata dia lega apabila penonton menilai dirinya berdasarkan naskhah drama dan filem yang merupakan fokus utamanya.
“Saya lebih suka orang mengenali saya melalui watak dalam drama mahupun filem yang saya bawakan. Satu kepuasan kalau orang bercakap mengenai karakter yang kita galas.
“Saya tak kisah dikata nama suram atau sebagainya kerana cerita sensasi, janji memang kita aktif bekerja dan sengaja elak gosip yang tak perlu.
“Saya tidak gemar apabila orang kenal saya melalui hal yang kurang elok dan tidak betul. Jadi saya lebih selesa begini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Cuckootopia X Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.
Dalam pada itu, selepas hampir setahun bertungkus-lumus di set penggambaran, Sophia mengambil peluang berehat selama sebulan bagi memberi ruang bertenang kepada dirinya.
Katanya, dia memanfaatkan tempoh bercuti bagi merangka perniagaan baharu, selain meluangkam masa dengan keluarga sebelum kembali ke set penggambaran minggu depan.
“Kita jarang ada masa untuk keluarga kerana sibuk berlakon. Jadi, saya nak berehat sambil luangkan masa bersama mereka selain rangka perniagaan.
“Saya harus bijak membahagikan masa agar kerjaya lakonan serta minat dalam bidang perniagaan dapat bergerak seiring.
“Bagus juga kalau kita ada pelbagai sumber pendapatan. Saya minat berlakon dan berniaga, tidak salah mengejar kedua-duanya.
“Insya-Allah, tahun depan bisnes dilancarkan,” ujarnya.
Tambah Sophia lagi, tempoh bertenang penting buat pelakon bagi mengelakkan rasa penat yang melampau, lebih-lebih lagi selepas berbulan-bulan bekerja.-UTUSAN











