KUALA LUMPUR: Kumpulan Bunkface berpandangan sebahagian besar masyarakat Malaysia terlalu mengangung-agungkan muzik dan pemuzik Indonesia sehingga melupakan ramai produk muzik dan pemuzik tempatan.
Menurut ahlinya, Farouk Jaafar, malah keterbukaan rakyat Malaysia itu tidak setimpal dengan apa yang dihadapi pemuzik tempatan yang berhasrat melebarkan sayap ke negara seberang.
“Mereka bersikap berat sebelah terhadap pemuzik kita. Perkara ini lama berlaku kepada semua pemuzik Malaysia.
“Bukan setakat itu, nak tembusi pasaran di sana serba serbi memerlukan wang. Ia bukan kerja mudah.
“Namun kita dia sini terlalu terbuka terima muzik dan pemuzik mereka.
“Itu pilihan masing-masing. Saya tak kata ia salah, Tapi kita kena sokong muzik tempatan, ia melambangkan jati diri kita,” katanya pada sidang media khas yang dianjurkan sempena pelancaran Arieva Event Space di Klang, Selangor semalam.
Farouk dalam pada itu berkata ketegangan netizen Malaysia dan Indonesia yang berlaku masa kini secara tidak sengaja menyedarkan masyarakat tentang produk tempatan, lebih-lebih lagi muzik yang bagus dari Malaysia.
Juateru dia berharap sokongan berterusan dapat diberikan kepada produk muzik tempatan.
“Sebagai rakyat Malaysia, sokonglah produk muzik tempatan.
“Maka Kami itu slogan yang sangat baik. Jika anda tidak sokong muzik tempatan, macam mana kami nak bertahan, kedepan dan bergerak jauh?
“Jadi sokonglah muzik dan pemuzik tempatan supaya industri ini tidak mati,” ujarnya. – UTUSAN











