WHO tidak mengetahui punca kes radang paru-paru di Russia - Utusan Malaysia

WHO tidak mengetahui punca kes radang paru-paru di Russia

DARYA Shipilova meninggal dunia di sebuah hospital baharu di Irkutsk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan punca radang paru-paru yang meragut nyawa seorang pekerja makmal di sebuah institut penyelidikan antisampar di Russia masih belum diketahui.

Badan dunia itu turut menyatakan bahawa tiada kes sampar direkodkan setakat ini di negara tersebut.

Badan kawal selia kesihatan Russia memberitahu WHO ujian terhadap pekerja berkenaan dan individu yang pernah berhubung dengannya menunjukkan keputusan negatif bagi patogen berbahaya yang diuji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Individu yang mempunyai kontak dengannya juga masih tidak menunjukkan sebarang gejala, manakala tiada kes baharu radang paru-paru teruk yang dikaitkan dengan kejadian itu dikesan, menurut WHO.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan, WHO tidak menemukan bukti penularan berterusan yang berkaitan dengan kejadian ini. Ketidakpastian utama masih berpunca daripada ketiadaan diagnosis yang disahkan bagi pekerja makmal yang meninggal dunia itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Pekerja itu jatuh sakit sebelum meninggal dunia pada 2 Oktober dalam keadaan yang tidak didedahkan, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengkuarantinkan kira-kira 200 orang dan mencetuskan kebim­bangan mengenai kesihatan awam di media sosial.

Media Russia mengenal pasti wanita itu sebagai Darya Shipilova, 28, seorang juruteknik makmal di Institut Penyelidikan Antisampar Siberia dan Timur Jauh di Irkutsk, wilayah Siberia.

Sampar pneumonik, iaitu jangkitan paru-paru yang di­sebabkan oleh bakteria Yersinia pestis yang lazimnya ditemukan pada mamalia kecil dan kutunya pada awalnya disyaki menjadi punca kematian itu.

Gabenor Buryatia yang berjiran dengan Irkutsk berkata, wanita itu meninggal dunia, mungkin akibat sampar.

Namun, badan pemantau kesihatan Russia, Rospotrebnadzor memberitahu wanita itu didiagnosis radang paru-paru yang puncanya tidak diketahui. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini