Indonesia guna cecair buatan Brazil padam kebakaran hutan - Utusan Malaysia

Indonesia guna cecair buatan Brazil padam kebakaran hutan

ASAP akibat kebakaran hutan di sebatang jalan raya di Baroto, Kalimantan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mempergiat usaha memadam kebakaran hutan di beberapa wilayah, termasuk menerusi ujian penggunaan cecair pemadam buatan Brazil di Sumatera Selatan.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata, kerajaan akan mengoptimumkan pelbagai kaedah pemadaman, sama ada melalui operasi udara mahupun darat, bagi menangani kebakaran yang masih berlaku.

“Kebetulan, kita menerima bantuan dari Brazil dalam bentuk cecair yang boleh disembur dan mendap untuk memadamkan kebakaran. Kita sudah menguji cecair ini di Sumatera Selatan dan Kalimantan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Diharapkan usaha ini dapat diteruskan supaya kebakaran dapat dipadamkan dengan cepat,” kata Dudung selepas mesyuarat dua hala antara Presiden Prabowo Subianto dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, di Kompleks Istana Presiden di Jakarta pada Ahad, menurut laporan ANTARA.

Dudung berkata, beliau akan meninjau beberapa kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan, termasuk Sumatera Selatan, bagi melihat perkembangan usaha memadamkan kebakaran.

Beliau menjelaskan, operasi pemadaman akan diteruskan melalui operasi udara menggunakan helikopter, selain tindakan secara langsung oleh anggota di lapangan.

“Melalui udara, menggunakan helikopter. Operasi secara manual juga akan dilaksanakan oleh anggota yang terbabit,” tambah Dudung.

Sebelum ini, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan ujian penggunaan bahan pemadam bagi menangani kebakaran tanah gambut.

Dalam kenyataan pada Jumaat, BNPB berkata, bahan Realiza Anti Chamas telah diuji di kawasan Banyuasin, Sumatera Selatan. 

Produk itu merupakan serbuk yang dilarutkan dalam air sebelum disembur ke arah api bagi menghalang kebakaran daripada merebak.

Sementara itu, Ketua Staf Presiden, Listyo Sigit Prabowo berkata. kerajaan terus memantau kebakaran hutan dan menilai langkah yang berkesan bagi mempercepatkan usaha pemadaman.

Beliau berkata, Prabowo  telah mengarahkan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Negara, kerajaan tempatan dan kementerian berkaitan, termasuk pasukan Manggala Agni di bawah Kementerian Perhutanan, supaya meneruskan usaha memadamkan kebakaran.

Usaha menangani kebakaran dipergiat menerusi operasi darat dan udara. Kerajaan turut meningkatkan hebahan kepada orang ramai dan meneliti penambahbaikan peraturan bagi memperkukuh langkah pencegahan kebakaran.

Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau tetapi kebakaran tahun ini semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino yang dijangka menjadi antara terkuat sejak rekod perbandingan seumpamanya mula disimpan empat dekad lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini