Masalah jerebu yang tidak selesai-selesai

Masalah jerebu yang tidak selesai-selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALANGKAH bagusnya kalau jerebu yang melanda negara ketika ini dapat ditiup ke negara asal datangnya asap yang berpunca daripada kebakaran hutan itu.

Biarkan negara itu dipenuhi asap tebal dan biarkan pemimpinnya kelemasan dalam jerebu yang menyesakkan pernafasan.

Tetapi ia tidak boleh dilakukan. Bukan sahaja tiada cara untuk melakukannya tetapi Malaysia tidak akan membiarkan tetangganya kelemasan dalam jerebu tebal itu.

Oleh kerana dua negara itu berkongsi langit yang sama, apa yang berlaku di Indonesia tetap dirasai di Malaysia. Kebakaran hutan di Kalimatan, asapnya bertebar hingga ke Sarawak dan kebakaran di Sumatera pula menyebabkan ruang udara Semenanjung dipenuhi dengan jerebu.

Jerebu menyebabkan pergerakan luar rumah terbatas kerana ia tidak sihat kepada orang ramai terutama mereka yang menghidapi masalah kesihatan berkaitan asma.

Sejak awal Ogos lalu, Malaysia telah menerima kesan jerebu itu dan memasuki bulan ketiga bencana cuaca itu masih belum nampak tanda-tanda ia akan reda. Walaupun berlaku hujan lebat, jerebu muncul semula selepas itu.

Pembakaran hutan di Indonesia yang dikaitkan dengan aktiviti perladangan dikatakan punca kepada masalah je­rebu yang berlaku. Kalau benar dakwaan itu, ia sememang­nya tidak patut berlaku. Hanya kerana mahu menjaga kepentingan komersial, berjuta penduduk termasuk di rantau ini yang menerima kesan buruknya.

Pihak berkuasa di Indonesia perlu bertegas terhadap pihak terlibat kerana masalah jerebu sudah menjadi perkara yang akan berlaku setiap tahun setiap kali musim kering melanda.

Indonesia juga mengalami kerugian berbilion ringgit akibat jerebu dan sepatutnya negara itu sudah ada kaedah untuk mengatasinya daripada berulang setiap tahun.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir semalam dilaporkan berkata beliau telah menghubungi Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan bagi menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan negaranya untuk mena­ngani kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan.

Antara yang dilakukan termasuk mengerahkan lebih 60,000 anggota termasuk menggunakan 48 helikopter selain pesawat untuk operasi pembenihan awan serta pengeboman air.

Beliau juga berharap hujan yang diramalkan berlaku tidak lama lagi dapat meredakan situasi jerebu itu. Harapnya, ramalan itu benar-benar akan berlaku dan kebakaran dapat dihentikan.

Indonesia juga perlu mempertimbangkan segera tawaran bantuan daripada Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran itu. Ketika ini yang penting adalah memadamkan api yang sedang marak membakar hutan dan tanah gambut di Indonesia.

Sebarang bantuan termasuk dari pihak luar sepatutnya dialu-alukan terutama untuk memadamkan kebakaran yang memerlukan bantuan aset seperti helikopter.

Namun Indonesia agak lewat untuk memberi kata putus mengenai bantuan itu seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Malaysia telah menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu memadam kebakaran hutan di republik itu.

 

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia – UTUSAN