BERMULA dengan menyediakan hidangan untuk rakan-rakan, siapa sangka seorang suri rumah, Mariam Harun, 64, kini bergelar pengarah dan pengasas perusahaan produk makanan sedia dimakan (RTE) berasaskan dendeng daging.
Mariam yang mengusahakan perniagaan Mariyda Shop Sdn. Bhd. menggunakan jenama Ve’Ladid beroperasi di Chuah, Port Dickson, menceburi bidang perniagaan pada Disember 2015 dengan menghasilkan dendeng daging dalam bentuk sejuk beku.
Menurutnya, idea untuk memulakan perniagaan tercetus hasil galakan rakan-rakan yang sering menikmati hidangan dendeng daging, nasi impit dan ketupat yang disediakannya ketika kunjungan sempena Hari Raya.
“Rakan-rakan banyak memberi galakan kerana pada ketika itu produk seperti dendeng yang saya hasilkan tidak banyak terdapat di pasaran, selain mereka menyukai rasanya.
“Daripada situ, saya melihat peluang untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan dan memberanikan diri melangkah ke bidang perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, percubaan awal bermula dengan menyertai acara hujung tahun di Batu 4, Port Dickson, bagi memperkenalkan produknya kepada orang ramai.
“Bagaimanapun, perjalanan saya sebagai usahawan bukan mudah apabila beliau berdepan cabaran untuk mengubah persepsi pengguna terhadap dendeng yang ketika itu lebih sinonim dengan hidangan musim perayaan dan majlis kenduri,” katanya.
Menurut Mariam, ramai pengguna menganggap dendeng hanya sesuai dimakan bersama lemang, ketupat, nasi impit atau pulut.
Bagi mengubah persepsi itu, dia mengambil pendekatan melakukan demonstrasi makanan pada setiap acara yang disertainya dengan mengolah dendeng kepada pelbagai menu moden.
“Dendeng boleh dijadikan pelbagai hidangan seperti piza, burger, wrap, roll, sandwich,” katanya.
Menurut Mariam, kelainan produk keluarannya terletak pada rasa selain cara penyediaan dendeng yang tidak dihiris, sebaliknya dicarik.
“Kelainan kami semestinya pada rasa. Produk kami bukan dendeng yang dihiris, tetapi dicarik dan kaedah ini menjadi antara identiti produk kami,” katanya.
Mengulas cabaran pula, Mariam berkata, persaingan dalam industri dendeng kini semakin sengit berikutan pertambahan pengeluar dan pengusaha baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
“Cabaran memang banyak. Dahulu tidak sebanyak sekarang, tetapi kini pengeluar dan pengusaha dendeng semakin ramai, terutama di kawasan tertentu.
“Persaingan harga juga semakin sengit apabila ada produk yang dijual pada harga terlalu rendah dan kadangkala tidak begitu masuk akal jika mengambil kira kos bahan mentah serta proses penghasilannya,” katanya.
Dia berkata, keadaan itu menyebabkan pengusaha perlu mempunyai keunikan tersendiri dan tidak hanya bergantung kepada persaingan harga untuk kekal dalam pasaran. – UTUSAN











