MELAKA: Latar belakang sebagai anak kepada ibu tunggal tidak menghalang Kalaivanie Balakrishnan membina kerjaya dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan masyarakat.
Berpengalaman lebih 22 tahun sebagai pendidik, beliau kini melangkah ke peringkat kebangsaan sebagai finalis Wanita Ikon Waja Malaysia 2026/27 selepas dinobatkan sebagai Wanita Ikon Waja Melaka 2026/27.
Sepanjang kerjayanya, Kalaivanie menerima pengiktirafan Guru Cemerlang sebanyak dua kali selain aktif mencungkil bakat murid dalam bidang seni dan budaya.
Beliau turut mengembangkan perniagaan makanan Maya Mantras serta menyumbang kepada pembangunan usahawan menerusi peranannya sebagai Naib Presiden Melaka Indian Chamber of Commerce and Entrepreneurship (MICCE).
Pengalaman hidup dan kerjaya mendorongnya memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita melalui pendidikan, keusahawanan dan literasi kewangan.
“Bagi saya, kejayaan bukan hanya tentang pencapaian diri sendiri, tetapi juga peluang yang dapat dibuka untuk membantu wanita lain membina keyakinan diri, berdikari dan mencapai kebebasan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan.
Menerusi platform Wanita Ikon Waja Malaysia 2026/27, Kalaivanie berharap dapat memperluas usaha berkenaan supaya lebih ramai wanita mampu membina masa depan dan mencapai potensi diri.
Orang ramai boleh mengundi Kalaivanie menerusi pautan berikut:
https://vote.kelabwanitaikon.com/awim/anugerah-wanita-ikon-26/anugerah-wanita-waja-202627/kalaivanie-ap-balakrishnan– UTUSAN











