JOHOR BAHRU: Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) di 28 buah Sekolah Menengah Agama di seluruh negeri yang sepatutnya berlangsung bermula esok hingga 16 Oktober ditangguh susulan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, susulan penangguhan tersebut, tarikh baharu bagi peperiksaan berkenaan dipinda kepada 19 hingga 23 Oktober ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat susulan pengumuman penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor selama lima hari bermula esok hingga Jumaat ini.
“Langkah ini juga selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Johor khususnya murid serta warga pendidik.
“Arahan penutupan ini turut terpakai kepada Institusi Pendidikan Agama di bawah bidang kuasa JAINJ sebagaimana yang disahkan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, JAINJ turut memaklumkan bahawa Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) bagi daerah Batu Pahat yang ditangguhkan pada 7 Oktober lalu kini dipinda ke tarikh baharu iaitu pada 20 Oktober depan.
“Pihak JAINJ memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan keselamatan serta kesihatan warga sekolah sentiasa terpelihara sepanjang tempoh jerebu ini,” katanya.-UTUSAN











