Beting pasir Pulau Kuraman diiktiraf terpanjang di Malaysia

Beting pasir Pulau Kuraman diiktiraf terpanjang di Malaysia

Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan oleh Siti Nurhanim Mohd Noh kepada Perbadanan Labuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Beting pasir di Pulau Kuraman, Labuan diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai beting pasir terpanjang di Malaysia dengan ukuran sepanjang 808.4 meter.

Pengiktirafan itu turut melibatkan beting pasir terdedah atau tidak pernah tenggelam sepanjang 790.4 meter, sekali gus membuka peluang kepada kawasan berkenaan untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan baharu di pulau itu.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, Pulau Kuraman yang berkeluasan 363 ekar merupakan antara 11 geopark di Labuan dan dianggarkan berusia 35 juta tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kawasan pulau itu juga berpotensi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya pelancong yang mengunjungi Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil yang turut mempunyai pengusaha chalet.

“Kita merancang bersama Perbadanan Labuan membangunkan kawasan ini menerusi konsep pelancongan berasaskan komuniti (community-based tourism) dengan melibatkan penduduk kampung dalam usaha memelihara keindahan semula jadinya,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti gotong rotong sempena program Bersih Setiap Tempat (Best) di Pulau Kuraman, di sini hari ini.

Sijil pengiktirafan MBOR itu disampaikan oleh Ketua Rekod dan Penyelidikan MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh kepada Perbadanan Labuan.

Muhammad Azmi berkata, pihaknya memberikan tempoh sebulan kepada Perbadanan Labuan untuk memulakan kerja-kerja pembangunan dengan kerjasama 27 kampung di sekitar Labuan.

Katanya, penduduk kampung akan dilibatkan secara langsung dalam pembangunan kawasan itu, termasuk cadangan menyediakan gazebo untuk kemudahan pengunjung beristirahat dan menjalankan aktiviti.

“Kalau kita tengok tadi, kayu-kayu itu kita boleh guna sebagai bangku. Kita tak nak ada struktur yang besar yang merosakkan keindahan beting pasir,” katanya.

Beliau berkata, kawasan beting pasir itu sebelum ini tidak berada di bawah kawalan mana-mana pihak, namun kini telah diluluskan untuk diletakkan di bawah kawalan Perbadanan Labuan.

Katanya, langkah itu membolehkan tanggungjawab menjaga dan memelihara kawasan berkenaan dilaksanakan secara lebih tersusun.

Dalam program gotong-royong itu, lebih 360 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi penglibatan kira-kira 150 peserta termasuk wakil universiti.

Sampah yang dikutip tertumpu kepada plastik dan bahan buangan lain yang sukar dilupuskan bagi memastikan kebersihan serta keindahan kawasan berkenaan terus terpelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini