DAP tidak terlibat dalam krisis Negeri Sembilan

DAP tidak terlibat dalam krisis Negeri Sembilan

Anthony Loke Siew Fook bersalaman dengan perwakilan ketika hadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24 Tahun 2026 di Seremban, hari ini.- UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: DAP menegaskan parti itu tidak terbabit dalam kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan, sebaliknya mahu terus memberi tumpuan kepada tugas serta khidmat kepada rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu tidak pernah mencampuri sebarang percaturan politik berkaitan krisis berkenaan, termasuk kemungkinan usaha mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Menurutnya, kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan yang berlarutan itu merupakan perkara rumit kerana melibatkan pelbagai aspek, termasuk kedudukan Menteri Besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pergolakan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan ini macam tidak ada kesudahan dan sudah tentu ini merupakan satu isu yang rumit kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kedudukan Menteri Besar dan sebagainya. Jadi, ini sesuatu yang di luar tugas kami.

“Kami telah berada di luar kerajaan, jadi mereka tidak boleh lagi menyalahkan kami atau menggunakan alasan DAP dan sebagainya. Kami hanya fokus kepada kerja kami dan wakil rakyat perlu bertugas serta berkhidmat di kawasan masing-masing seperti biasa,” katanya ditemui selepas menghadiri Konvensyen DAP Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, DAP Negeri Sembilan perlu bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya susulan ketidaktentuan politik semasa.

“Keadaan di Negeri Sembilan ini, sama ada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh bersidang dalam masa terdekat, belum mempunyai tarikh baharu. Banyak ketidaktentuan yang berlaku di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keadaan kerajaan negeri yang hanya mempunyai Menteri Besar tanpa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebagai sesuatu yang pelik dan boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita seorang Menteri Besar tidak ada EXCO. Sudah tentu pentadbiran tidak dapat berjalan dengan sempurna kerana banyak keputusan dan hal pentadbiran perlu diuruskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti kerusi dalam DUN boleh meneruskan pentadbiran, termasuk mengemukakan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan EXCO.

“Tuanku Muhriz juga telah pun menyatakan bahawa baginda meminta Menteri Besar memberikan nama baharu untuk menjadi ahli EXCO. Jadi, sebenarnya tidak ada masalah, mereka boleh memilih orang lain, tetapi terpulanglah kepada tindakan mereka,” katanya.

Sementara itu, Anthony Loke menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP supaya terus membantu rakyat meskipun tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

Katanya, wakil rakyat perlu mencari pendekatan lain bagi memastikan khidmat kepada masyarakat dapat diteruskan seperti yang dilakukan parti itu ketika menjadi pembangkang sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini