Kelayakan penangguhan bayaran balik PTPTN disemak dengan LHDN

Kelayakan penangguhan bayaran balik PTPTN disemak dengan LHDN

NORLIZA ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelayakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menikmati penangguhan bayaran balik pinjaman akan ditentukan berdasarkan pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif kerajaan bagi memastikan komitmen bayaran balik pinjaman disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam.

Menurutnya, peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan layak menikmati penangguhan bayaran balik, manakala mereka yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran minimum RM50.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaksanaan inisiatif ini adalah tertakluk kepada pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan LHDN.

“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan komitmen bayaran balik dapat disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam,” katanya dalam kenyataan.

Norliza berkata, inisiatif penangguhan bayaran balik yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan melalui pembentangan Belanjawan 2027 itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.

Katanya, insentif berkenaan bertujuan menggalakkan pembayaran balik secara berterusan, selain mengurangkan risiko tunggakan pinjaman.

Mengulas lanjut, katanya, majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing turut diberikan potongan cukai bagi bayaran yang dibuat mulai Januari 2027 hingga Disember 2028.

Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu mengurangkan beban hutang pekerja dan memperkukuh kebajikan mereka.

Tambahnya, PTPTN akan mengumumkan perincian lanjut mengenai pelaksanaan semua inisiatif berkenaan dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini