JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata bahawa beliau telah menghubungi Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan bagi menjelaskan langkah-langkah yang diambil kerajaan negaranya untuk menangani kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan.
Perbualan dengan Menteri Luar Malaysia itu diadakan sebagai susulan kepada perbualan telefon antara Presiden Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu ini.
“Ya, kami telah berhubung dengan Malaysia. Saya telah bercakap dengan Menteri Luar Malaysia dan menjelaskan langkah-langkah yang diambil Indonesia, termasuk mengerahkan lebih 60,000 anggota termasuk menggunakan 48 helikopter selain pesawat untuk operasi pembenihan awan serta pengeboman air,” kata Arrmanatha ketika menjawab soalan wartawan di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Sabtu.
Arrmanatha, yang lebih dikenali sebagai Tata, turut menyatakan bahawa kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan masih menjadi cabaran bagi Indonesia.
“Kami berharap kebakaran itu akan segera reda memandangkan hujan diramalkan berlaku,” katanya.
Anwar pada Khamis memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Prabowo dan kedua-dua pemimpin membincangkan kebakaran di Kalimantan serta Sumatera yang menyebabkan jerebu hingga menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia termasuk Singapura.
“Isu jerebu sememangnya membimbangkan. Saya telah menghubungi Presiden Prabowo dan beliau bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” kata Anwar.
Kebakaran semakin marak tahun ini, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino yang dijangka menjadi antara paling kuat sejak rekod perbandingan seumpamanya mula dicatatkan empat dekad lalu.
El Nino lazimnya menyebabkan kemarau teruk di Indonesia tetapi pakar-pakar berkata, amalan tebang dan bakar serta pengeringan tanah gambut menjadikan kawasan yang sebelum ini tahan daripada kebakaran semakin mudah terbakar.
Dalam tempoh Januari hingga Julai sahaja, lebih 202,000 hektar kawasan musnah akibat kebakaran, menurut angka kerajaan yang belum dikemas kini sejak itu. – AGENSI











