KUALA LUMPUR: Satu detik istimewa apabila penyerahan memorabilia Datuk Awie diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada industri muzik tempatan.
Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh berkata, perjalanan muzik Awie simbolik perkembangan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sepanjang 35 tahun.
“35 tahun lebih daripada tempoh masa kerana ia adalah legasi muzik, kenangan dan generasi yang telah membesar bersama kami.
“Kami berbangga meraikan sejauh mana perjalanan ini membawa kami dan perjalanan yang masih akan diteruskan,” katanya.
Pengarah Urusannya Rumah Produksi Merah Events (RPM Events), Datuk Eddy Amir Salim meluahkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
“RPM Events merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hard Rock Cafe Kuala Lumpur atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menguruskan ‘35 Years, One Legendary Night’.
“Acara ini bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang telah mewarnai industri muzik selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, bagi menyambut ulang tahun ke-35, Hard Rock Cafe bakal meraikan detik bersejarah itu menerusi ’35 Years, One Legendary Night’ pada 9 November depan dengan menampilkan persembahan daripada tiga nama besar muzik rock tempatan iaitu WINGS, Kristal dan Muzza & The Velvettones.
Kumpulan rock legenda WINGS bakal menjadi tarikan utama menerusi persembahan lagu-lagu popular mereka.
Turut memeriahkan pentas ialah Kristal, yang telah lebih dua dekad mewarnai industri muzik dengan identiti fast-rock tersendiri. Kumpulan ini kini dianggotai Ewal (vokal), Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
Acara yang bermula pada jam 9 malam itu turut menampilkan Muzza, penyanyi, penulis lagu, komposer dan gitaris yang dikenali menerusi lagu Bara Jiwa yang merupakan runut bunyi asal filem Blood Brothers: Bara Naga.
Tiket berharga RM219 seorang, termasuk satu minuman ringan. Kemasukan terhad kepada pemegang tiket berumur 18 tahun ke atas. Tiket boleh dibeli di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan kelab peminat Sayap-Sayap Wings.











