Serangan di terminal penumpang Lapangan Terbang Riyadh ragut 12 nyawa, 309 cedera

Serangan di terminal penumpang Lapangan Terbang Riyadh ragut 12 nyawa, 309 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Serangan peluru berpandu membedil terminal penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh meragut 12 nyawa dan mencederakan 309 orang, menurut angka terkini yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA).

Serangan yang menyaksikan peluru berpandu menghentam terminal penumpang itu merupakan serangan ketiga terhadap kemudahan berkenaan dalam tempoh seminggu.

Insiden itu mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan Washington mungkin menyertai kempen ketenteraan Arab Saudi terhadap pemberontak Houthi di Yemen.

Memuatkan artikel berkaitan…

GACA berkata, empat daripada mangsa yang maut ialah rakyat Arab Saudi, manakala lapan lagi warga asing yang menetap di negara itu.

Dua daripada mangsa warga asing ialah rakyat Bangladesh, manakala selebihnya merupakan warga AS Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

Pihak berkuasa itu berkata, mangsa yang cedera, termasuk beberapa orang yang berada dalam keadaan serius, masih menerima rawatan di hospital, sementara kerja-kerja menilai dan merekodkan kerosakan harta benda di lapangan terbang itu sedang dijalankan.

Terdahulu, sumber perubatan di sebuah hospital tempatan memberitahu AFP, seorang daripada mangsa yang maut ialah pramugari warga Mesir yang bekerja untuk sebuah syarikat penerbangan Arab Saudi, manakala seorang lagi ialah rakyat Palestin yang menggunakan dokumen perjalanan Mesir.

Saksi berkata, mereka terdengar letupan kuat di lapangan terbang itu, manakala seorang penumpang yang sedang menunggu untuk menaiki pesawat turut melaporkan kejadian letupan.

Saksi lain berkata, mereka tidak dapat memastikan punca pemindahan penumpang yang dilakukan selepas kejadian itu, ketika orang ramai diarahkan meninggalkan beberapa bahagian premis berkenaan dan lebih 12 ambulans dilihat tiba di lokasi.

Individu yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu berkata, saksi melaporkan melihat beberapa orang terbaring dalam keadaan cedera di dalam terminal.

GACA kemudian mengesahkan letupan itu berpunca daripada peluru berpandu yang menghentam terminal penumpang, mengakibatkan beberapa orang cedera.

Agensi berita yang memetik maklumat daripada pihak hospital dan saksi melaporkan puluhan orang cedera, dengan sekurang-kurangnya lima pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi. Sebahagian mangsa turut diterbangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Operasi penerbangan di lapangan terbang itu digantung sementara susulan serangan berkenaan.

Perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan tiada pesawat mendarat selama hampir empat jam selepas pesawat terakhir mendarat pada pukul 2.05 petang (waktu tempatan), manakala penerbangan yang menuju ke lapangan terbang itu dilencongkan ke lokasi lain.

Kuwait Airways mengumumkan pembatalan penerbangan dari dan ke Riyadh berikutan penutupan lapangan terbang itu atas faktor situasi keselamatan.

Reuters melaporkan, Etihad Airways dan Qatar Airways turut membatalkan beberapa penerbangan antara hab masing-masing dengan ibu negara Arab Saudi itu, manakala sebahagian pembatalan berlanjutan hingga Isnin.

Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid menggesa penumpang menghubungi syarikat penerbangan masing-masing dan menyemak status penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang berkenaan.

Serangan pada Sabtu itu merupakan sekurang-kurangnya serangan ketiga terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dalam tempoh seminggu, sejak pakatan pimpinan Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen.

Dalam satu lagi kejadian awal minggu ini, serangan terhadap lapangan terbang itu mengorbankan empat orang, termasuk seorang juruterbang, mencederakan beberapa yang lain serta merosakkan sebuah pesawat milik Saudia.

Serangan berkenaan turut menyebabkan kepulan asap kelihatan di kawasan lapangan terbang, sekali gus mendorong beberapa syarikat penerbangan menggantung atau membatalkan perkhidmatan ke Riyadh.

Kumpulan Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terdahulu itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini