Ronaldo digantung sementara Portugal

Ronaldo digantung sementara Portugal

PENYERANG itu digantung sementara selepas Persatuan Bola Sepak Portugal membuka prosiding tatatertib susulan tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Cristiano Ronaldo digantung sementara selepas Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) memulakan prosiding tatatertib terhadap penyerang berusia 41 tahun itu susulan tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan.

FPF dalam kenyataan mengesahkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai segera, dengan Ronaldo digantung sementara sehingga keputusan hukuman muktamad dibuat.

Ronaldo meninggalkan kem Portugal selepas tidak diturunkan ketika menentang Norway pada 27 September, sebelum mengetahui dirinya tidak akan berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan Denmark pada 1 Oktober.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United berkenaan mendakwa ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus, memungkiri janji untuk memberikannya peluang beraksi.

Ronaldo kemudian memohon maaf kepada penyokong, namun menegaskan dirinya tidak bercadang bersara daripada bola sepak antarabangsa dan bersedia menerima sebarang hukuman yang dikenakan.

“Saya akan sentiasa bersedia seperti sebelum ini untuk beraksi dan menang bersama pasukan kebangsaan,” kata Ronaldo

Menurut laporan media Portugal, peraturan badan induk itu membolehkan pemain yang tidak menghadiri latihan, perlawanan atau aktiviti pasukan kebangsaan digantung antara satu hingga enam bulan.

Ronaldo turut mendakwa Jesus mengingkari persetujuan untuk menurunkannya ketika menentang Norway, selain tidak menyampaikan beberapa perkara yang dipersetujui dalam perbincangan sebelum perlawanan menentang Denmark.

Jesus enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Ronaldo, sebaliknya menegaskan tumpuannya kekal kepada pasukan kebangsaan, selain menyatakan kesediaan memilih penyerang itu selagi dia beraksi di peringkat kelab dan berminat menyertai skuad Portugal.

Portugal sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara selepas memenangi semua empat perlawanan setakat ini, dengan dua aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Denmark pada 14 November dan Wales tiga hari kemudian.

Ronaldo pula kembali beraksi bersama Al-Nassr pada Jumaat lalu dan menjaringkan gol ke-980 sepanjang kariernya ketika membantu kelab itu menewaskan Diriyah 3-0. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini