Belanjawan 2027: Ukur kejayaan melalui dapur rakyat

Belanjawan 2027: Ukur kejayaan melalui dapur rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH makna pertumbuhan ekonomi jika rakyat masih berkira-kira ketika membeli barangan dapur? Apakah ertinya pelaburan berbilion ringgit jika sebahagian keluarga terus dibebani kos makanan, sewa rumah, pengangkutan dan bil elektrik yang semakin menekan perbelanjaan bulanan?

Persoalan ini wajar menjadi ukuran utama dalam menilai Belanjawan 2027.

Belanjawan negara bukan sekadar dokumen kewangan yang memperincikan hasil dan perbelanjaan kerajaan. Lebih daripada itu, belanjawan adalah instrumen untuk menentukan sama ada kemakmuran negara benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat atau hanya terpancar melalui angka pertumbuhan ekonomi.

Bagi kebanyakan isi rumah, kejayaan ekonomi tidak diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata. Perkara yang lebih dekat dengan kehidupan harian perlu dijadikan ukuran. Kemampuan membeli makanan, membayar bil, menyediakan keperluan persekolahan anak-anak dan menyimpan sedikit wang untuk menghadapi kecemasan.

Sebab itu, bantuan tunai dan subsidi bersasar yang diumumkan kerajaan perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan penerima.

Bantuan berkenaan sememangnya dapat memberikan kelegaan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Namun, persoalannya adalah sejauh mana bantuan itu mampu mengatasi tekanan kos sara hidup yang berpanjangan?

Kerajaan tidak boleh selama-lamanya menjadikan bantuan sebagai jawapan utama kepada masalah pendapatan yang tidak mencukupi.

Bantuan diperlukan ketika rakyat terdesak, tetapi penyelesaian jangka panjang mesti melibatkan penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan produktiviti dan pertumbuhan gaji yang lebih sepadan dengan kos kehidupan.

Begitu juga dengan kenaikan gaji minimum. Langkah tersebut penting untuk memperbaiki pendapatan pekerja, tetapi keberkesanannya bergantung pada kuasa beli sebenar.

Jika kenaikan gaji akhirnya diimbangi oleh peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, manfaat yang diterima pekerja akan menjadi semakin kecil.

Isu bil elektrik juga tidak boleh dipandang ringan. Tenaga merupakan keperluan asas isi rumah dan input penting kepada perniagaan.

Perlindungan pengguna perlu diteruskan secara mampan, di samping memperluas kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu bagi membantu mengawal kos dalam jangka panjang.

Pada masa sama, setiap peruntukan untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan perlu diterjemahkan kepada hasil yang boleh dirasai. Rakyat mahu perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah diakses, rumah yang mampu dimiliki dan pendidikan berkualiti tanpa tekanan kewangan yang keterlaluan.

Akhirnya, Belanjawan 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemeriahan pengumuman atau besarnya angka peruntukan semata-mata. Ukuran sebenarnya adalah perubahan yang berlaku dalam kehidupan rakyat selepas belanjawan dilaksanakan.

Jika keluarga masih terpaksa memilih antara membayar bil dengan membeli keperluan dapur, masih sukar menyimpan dan terus bimbang tentang perbelanjaan bulan berikutnya, persoalan mengenai keberkesanan dasar ekonomi akan terus timbul.

Belanjawan yang benar-benar berpihak kepada rakyat bukan sekadar memastikan mereka mampu bertahan hingga hujung bulan, tetapi membolehkan mereka hidup dengan lebih selesa, bermaruah dan mempunyai harapan terhadap masa depan.

Itulah ukuran kejayaan yang sepatutnya menjadi keutamaan negara.

Aznan Bakar ialah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN