BUKIT MERTAJAM : Seorang lelaki berusia 84 tahun cedera selepas gagal menyelamatkan diri apabila sebuah kren terbalik dan menghempap bumbung asrama pusat jagaan warga emas yang didiaminya di Permatang Tinggi di sini, hari ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.38 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan anggota bertugas ke lokasi.
“Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa kren berkenaan sedang diparkir di satu permukaan yang tidak rata di kawasan itu. Akibatnya, kren terbabit hilang kestabilan lalu terbalik dan menghempap bangunan asrama.
“Mangsa yang terlibat pula telah dibawa ke hospital oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) lebih awal iaitu sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, pusat jagaan warga emas itu dihuni oleh 38 orang termasuk mangsa manakala pekerja serta pemandu kren yang bertugas pada masa itu pula adalah seramai 11 orang.
Bagaimanapun katanya, semua penghuni dan pekerja berkenaan berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian kecuali mangsa.
“Komander operasi turut mengarahkan agar anggota yang terlibat memasang sawar-sawar di lokasi kejadian bagi mengawal pergerakan orang awam dan menghalang kemasukan ke kawasan larangan. Operasi seterusnya ditamatkan kira-kira pukul 1.45 petang,” katanya.-UTUSAN











