Senja mula menampakkan diri perlahan-lahan di halaman rumah pusaka itu, membawa bersama sunyi yang sudah terlalu lama menetap. Cahaya matahari menyusup melalui celah pokok rambutan, jatuh bertompok-tompok di lantai serambi lalu menghidupkan debu halus yang berterbangan.
Masih terbayang zaman kecilnya di rumah itu: berlari-lari di halaman bersama sepupu-sepupu selepas hujan petang, mengejar belalang di celah rumput dan berebut buah rambutan yang dikait datuk.
Ketika itu, tempang lelaki tua tersebut tidak pernah kelihatan sebagai kekurangan. Datuk masih gagah turun ke kebun, menebas lalang, dan mengimamkan solat di surau. Cuma setiap kali
Jauhari bertanya tentang parut panjang pada betisnya, datuk akan tersenyum lalu mengalihkan cerita kepada perkara lain. Kini, setelah pemergiannya, kenangan-kenangan kecil itu kembali dengan rasa aneh, seolah-olah menyimpan jawapan yang dahulu terlalu muda untuk difahaminya. Dia pulang kerana kematian. Arwah datuknya baru seminggu dikebumikan di tanah perkuburan hujung kampung.
Jauhari bin Rahman.
Nama pada batu nisan itu masih mengganggunya. Sejak kecil, ada satu perkara tentang datuknya yang selalu terasa ganjil: mereka berkongsi nama yang sama.
Jauhari.
Pernah sekali dia bertanya kepada ibunya mengapa namanya sama dengan nama datuk.
“Atuk yang pilih nama kau,” jawab ibunya. “Katanya nama itu mesti kekal dalam keluarga.”
Jauhari tidak pernah memikirkannya lagi. Orang Melayu memang sering mewariskan nama. Mungkin datuk sekadar mahu seorang cucu membawa namanya selepas dia tiada. Bagi Jauhari, datuknya hanyalah lelaki tua kampung yang keras pada cara lama. Kaki kanannya tempang, tetapi tidak pernah bercerita bagaimana kecacatan itu terjadi. Dia lebih suka menyimpan surat-surat lama, gambar hitam putih dan cerita zaman darurat daripada berbicara tentang dirinya sendiri.
“Bilik belakang belum berkemas lagi,” tegur ibunya.
Jauhari menuju ke kamar tersebut. Sebuah almari cengal berdiri di penjuru, tubuh kayunya gelap dimamah usia. Setelah mencari, dia menemukan anak kunci tergantung di belakang bingkai gambar.
Klik.
Pintu almari terbuka. Bau kain lama dan kayu lembap menyerbu keluar bersama udara masa silam yang terkurung. Di dalamnya tersimpan beberapa helai kain kuning, surat-surat lama, gambar hitam putih dan sebuah kotak kayu kecil.
Jauhari membukanya.
Sebilah keris tua terbaring di dalam. Sarungnya hitam berkilat. Ukiran pada hulunya halus, sementara pamor pada bilah membentuk jalur-jalur aneh seperti urat logam.
Sewaktu disentuh, dingin meresap ke tapak tangannya, disusuli denyutan kecil seperti cas elektrik.
“Antik macam ini mesti mahal.” Hutang-hutangnya di bandar segera terbayang dalam mindanya. Malam itu, sewaktu makan, Jauhari bersuara selamba.
“Kalau keris atuk tu dijual, agaknya laku berapa?”
Tangan ibunya terhenti.
“Jangan jual keris itu.”
“Kenapa pula? Bukan ada guna pun. Atuk tu bukannya pahlawan pun. Mana ada pahlawan tempang!”
“Jaga mulut kau!” Suara ibunya meninggi. “Kau boleh jual apa saja dalam rumah ini, tapi bukan keris itu.”
Jauhari terdiam.
Kemarahan yang ganjil itu menyalakan rasa ingin tahunya. Malam tersebut dia kembali ke almari. Dalam sekeping gambar lama, beberapa lelaki kampung berdiri di hadapan surau sambil membawa obor, parang dan tombak. Di belakangnya terdapat tulisan Jawi berdakwat pudar:
Rondaan malam. Tahun Darurat.
Salah seorang lelaki dalam gambar menyerupai datuknya; masih muda, kurus dan berdiri sedikit senget pada sebelah kaki.
Jauhari membuka pula buku catatan lama. Helai demi helai dibacanya. Tentang lelaki kampung yang berjaga malam. Tentang surau yang hampir dibakar. Tentang manusia biasa yang mempertahankan tanah dengan apa sahaja yang mereka miliki. Dan tentang keris itu.
Pada satu halaman, datuk mencatat bahawa pamornya ditempa daripada campuran bijih tempatan dan besi-nikel batu meteorit. Ujian seorang penyelidik barat menemukan pola kemagnetan luar biasa pada kisi logamnya, seolah-olah bilah itu mampu menyimpan jejak medan elektromagnet yang pernah melaluinya.
Jauhari membaca beberapa halaman berikutnya dengan lebih teliti. Catatan itu tidak ditulis seperti tulisan seorang ahli fizik, tetapi dipenuhi lakaran medan, angka, tarikh dan anak panah yang menghubungkan satu peristiwa dengan peristiwa lain. Pada tepi sebuah halaman, terdapat lukisan bentuk gelombang yang menyerupai bacaan magnetometer.
Datuk mencatat bahawa atom besi-nikel dalam pamor mungkin bertindak seperti memori feromagnet, mengekalkan orientasi medan daripada suatu keadaan lampau. Jika tenaga yang cukup diberikan, jejak tersebut boleh menghasilkan resonans temporal: bukan menggerakkan benda menembusi masa, tetapi memaksa ruang pada dua waktu berbeza berkongsi koordinat yang sama untuk beberapa saat.
Jauhari hampir ketawa membaca teori itu. Namun angka pada catatan tersebut terlalu teratur untuk dianggap khayalan seorang lelaki tua.
Satu ayat dicoretkan di bawah:
Apabila jejak lama bertemu semula medan yang sama, ruang mungkin mengingati kedudukannya.
Jauhari mengerutkan dahi lalu menggenggam keris. Bilah itu bergetar. Pamor berkilau seperti litar. Kompas telefonnya di lantai berpusing liar. Haba tapak tangan dan impuls bioelektrik sarafnya mengalir melalui logam, mencetuskan resonans dengan medan magnet bumi. Udara di hadapannya beralun. Kemudian membengkok.
Ruang seakan dilipat sehingga dua titik waktu bertindih pada kedudukan yang sama. Sebuah lorong gelap terbentuk di hadapannya. Jauhari cuba melepaskan keris.Terlambat. Tubuhnya tersedut ke hadapan. Cahaya bilik memanjang menjadi jalur-jalur tipis.Sesaat kemudian, lantai hilang.
* * *
Jauhari terhempas di atas tanah. Rumah pusaka masih berdiri, tetapi jauh lebih baharu. Jalan berturap dan tiang elektrik telah lenyap. Pelita bernyala di rumah-rumah kampung.
Tembakan meletus dari arah hutan. Beberapa lelaki berlari menuju surau sambil membawa parang dan buluh runcing. Jauhari membeku. Dia pernah melihat semua itu. Gambar hitam putih tadi.
Cuma sekarang gambar tersebut bergerak di hadapan matanya.
Dia berlari menuju surau. Wanita membawa anak-anak berlindung sementara kaum lelaki berkumpul mempertahankan kawasan. Di antara mereka, Jauhari melihat seorang lelaki tempang. Datuknya. Lelaki itu jauh lebih muda, tetapi Jauhari tidak mungkin tersalah orang.
Tembakan kembali memecahkan malam. Penduduk kampung bertahan dengan senjata yang serba kekurangan. Datuknya berada bersama mereka yang paling hadapan.
Tiba-tiba satu tembakan meletus. Tubuh lelaki itu terpelanting lalu rebah berhampiran tangga surau.
“Datuk!”
Jauhari menerpa.
Darah mengalir dari dada lelaki tersebut. Dengan sisa tenaga, dia menunjuk seorang bayi dalam dukungan wanita tua di belakang surau.
“Jaga Mariam.”
Jauhari tersentak.
Mariam ialah nama ibunya.
Sebelum sempat bertanya, lelaki itu menghembuskan nafas terakhir. Jika datuknya mati malam ini, siapa lelaki tua yang baru seminggu lalu mereka kebumikan?
Jauhari mencapai keris.
Pamornya menyala pucat, tetapi lengkungan ruang-waktu tidak terbentuk. Bacaan magnetometer pada telefonnya menunjukkan amplitud resonans hampir sifar. Satu catatan datuk kembali dalam ingatan: struktur pamor hanya mampu mencapai resonans penuh sekali bagi setiap corak bioelektrik pemegang. Selepas pelepasan tenaga, konfigurasi magnetiknya terkunci.
Perjalanan tadi bukan pintu dua hala. Ia perangkap!
Tembakan kedua meletus. Jauhari menarik wanita tua dan bayi itu ke belakang dinding. Serpihan kayu menerjah betis kanannya.
Dia tersungkur. Luka itu sembuh berbulan-bulan kemudian. Namun langkahnya tidak pernah sempurna lagi. Jauhari menjadi tempang. Dia memandang Mariam yang sedang tidur, kemudian keris dalam genggamannya. Dan suatu kemungkinan yang mustahil mula menjalar ke fikirannya.
Dia tidak datang untuk melihat sejarah datuknya.
Dia datang untuk menjadi datuknya!
* * *
Tahun-tahun selepas malam itu bergerak tanpa belas. Hari berganti bulan, kemudian tahun. Pada mulanya Jauhari menghitung setiap tarikh, berharap konfigurasi keris akan pulih dan membuka jalan pulang.
Dia mencuba ketika ribut, ketika bulan penuh, malah ketika kompas lama di rumah menunjukkan gangguan. Semuanya gagal. Sedikit demi sedikit dia berhenti menunggu masa depan dan belajar hidup di masa yang sepatutnya menjadi masa lalu. Dia bekerja di kebun, membantu membaiki surau dan membesarkan Mariam tanpa pernah menjelaskan dari mana dirinya datang.
Penduduk kampung menerima kehadirannya sebagai saudara jauh lelaki yang terbunuh malam itu. Anehnya, semakin lama dia tinggal di situ, semakin banyak kenangan masa kecilnya mula mengambil bentuk: pokok rambutan yang pernah dipanjatnya, bangku di serambi, almari cengal yang suatu hari akan menyimpan keris.
Jauhari tidak pernah berjaya pulang. Dia membesarkan Mariam seperti anak sendiri. Kepada kampung, dia menjadi lelaki tempang yang menjaga rumah pusaka, surat-surat lama dan sebilah keris yang tidak pernah dilepaskan daripada pengawasannya. Waktu menumbuhkan uban pada kepalanya dan kedut pada wajahnya. Mariam membesar dan berkahwin. Kemudian melahirkan anak lelaki.
Pada suatu petang, Mariam menyerahkan bayi itu kepadanya. “Ayah rasa nama apa elok untuk dia?”
Jauhari tua memandang wajah kecil dalam dukungannya. Lekuk dagu itu. Garis kening itu. Tanda kecil berhampiran telinga kiri. Dia mengenalinya. Itulah wajahnya sendiri.
Tiba-tiba suara ibunya dari masa depan bergema kembali:
Atuk yang pilih nama kau. Katanya nama itu mesti kekal dalam keluarga.
Jauhari menahan nafas. Selama ini dia menyangka datuk memberinya nama yang sama. Kini dia tahu siapa sebenarnya yang memberikan nama itu. Dirinya sendiri.
“Jauhari,” katanya perlahan. Mariam tersenyum.
“Sama macam nama ayah?”
“Ya.”
“Kenapa?”
Jauhari mengusap dahi bayi itu.
“Supaya nama ini tidak terputus.”
Sejak hari itu, dia mula menulis buku catatan. Tentang besi-nikel, pola magnet dan resonans. Dia menyimpan keris di dalam almari cengal dan menggantung anak kunci di belakang bingkai.
Setiap perkara yang pernah ditemuinya ketika muda kini dilakukan oleh tangannya sendiri. Kemudian Jauhari menyedari sesuatu. Pengetahuan tentang keris itu diketahuinya kerana pernah membaca catatan datuk.
Tetapi datuk itu ialah dirinya. Dia menulis kerana pernah membacanya. Dan dia pernah membacanya kerana dia akan menulisnya.
Jadi, siapakah yang mula-mula menemukan rahsia keris tersebut? Tiada siapa.Jauhari memandang bilah di hadapannya.
Begitu juga keris itu. Dia mendapatkannya daripada lelaki yang mati pada malam darurat, kemudian menyimpannya sehingga Jauhari muda menemukannya dan membawa keris tersebut kembali ke malam yang sama.
* * *
Puluhan tahun kemudian, tubuh Jauhari semakin lemah. Pada malam terakhirnya, dia duduk di hadapan almari lama. Di luar, angin menggesel atap zink dengan bunyi panjang dan sayu yang pernah didengarnya sewaktu muda; atau barangkali akan didengarnya seminggu selepas kematiannya.
Dia memasukkan keris ke dalam kotak. Menggantung anak kunci di belakang bingkai. Meletakkan gambar dan buku catatan pada tempat yang pernah ditemuinya. Segala-galanya sudah berada di tempat yang sepatutnya.
Pada halaman terakhir, dia menulis satu catatan aneh:
Waktu tidak membawa aku bertemu datuk. Waktu menjadikan aku datuk.
Seminggu kemudian, seorang pemuda bernama Jauhari pulang ke rumah pusaka kerana kematian datuknya. Di bilik belakang, sebuah almari menunggunya. Selama ini Jauhari menyangka datuk memberikan namanya kepada cucu. Sebenarnya, cuculah yang memberikan namanya kepada datuk. Atau mungkin tiada siapa pernah memberikan nama itu kepada sesiapa.
Bukan nama itu yang tidak pernah terputus. Waktu.-UTUSAN










