PENINGKATAN kes tragis membabitkan pelajar sekolah dan golongan remaja, termasuk kejadian bunuh di sekolah, wajar mendapat perhatian serius semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum masalah itu menjadi lebih parah.
Dalam mendepani cabaran itu, pendekatan agama amat penting sebagai salah satu benteng dalam membentuk sahsiah serta mengawal emosi golongan muda.
Bekas Pembantu Agama Kanan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat), Zaini Mat Yusuff, 74, berkata, perkara itu tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, pengaruh negatif media sosial selain kurangnya pengawasan keluarga dan persekitaran antara faktor yang perlu diberi perhatian dalam menangani gejala berkenaan.
Beliau yang kini Imam Masjid Al-Mansur, Sungai Lampam, Pasir Salak, Perak berkata, golongan remaja yang terlibat dalam tindakan ganas mungkin berdepan tekanan emosi seperti marah, cemburu atau dendam, namun gagal mengawal perasaan akibat tahap kematangan mental yang masih rendah.
Katanya, keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila golongan remaja mudah terdedah kepada pelbagai kandungan media sosial tanpa bimbingan dan pengawasan sewajarnya.
“Perkara ini perlu ditangani kerana gejala yang datang daripada media sosial. Peranan ini bukan setakat di sekolah tetapi perlu ditarbiah melalui pendidikan ibu bapa.
“Tarbiah bermaksud proses mendidik, mengasuh, membimbing, dan memelihara potensi manusia secara berterusan ke arah kebaikan.Dalam masa sama, masyarakat perlu celik al-Quran, celik dalam soal fardu ain dan fardu kifayah. Perkara ini perlu ditekankan kerana dalam al-Quran sendiri kita diajar untuk mencegah kemungkaran,” katanya.
Zaini berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak, selaras dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Menurutnya, pendidikan agama dan proses tarbiah perlu dimulakan sejak anak-anak kecil supaya mereka mempunyai asas kukuh dalam membezakan perkara baik dan buruk serta mampu mengawal diri ketika berdepan konflik.
Katanya, tanggungjawab itu turut melibatkan guru yang bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu akademik, malah membimbing dan membentuk sahsiah pelajar.
“Remaja sekarang sangat mudah terpengaruh dengan media sosial. Ini amat bahaya, sebab itu sesi tarbiah penting, maknanya kaunseling kepada pelajar perlu ditekankan sungguh-sungguh.
“Kalau boleh, sistem pendidikan sekarang kembali seperti dahulu. Sekarang hendak jentik pelajar pun tidak boleh,” katanya.
Beliau berkata, guru juga perlu diberi ruang sewajarnya untuk mendidik pelajar dengan pendekatan sesuai demi kebaikan mereka, atau sekurang-kurangnya menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar mengenai kesan sesuatu perbuatan.
Katanya, kes pembunuhan yang membabitkan pelajar di sekolah adalah amat serius dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mencegah kejadian seumpama itu berulang.
Zaini berkata, penghayatan terhadap ajaran agama perlu diperkasakan kerana ilmu agama bukan sekadar berkaitan ibadah, malah membentuk akhlak, disiplin dan keupayaan seseorang mengawal hawa nafsu.
Menurutnya, penguasaan ilmu fardu ain dan kifayah serta penghayatan terhadap al-Quran perlu diberikan perhatian dalam kehidupan supaya generasi muda mempunyai panduan ketika berdepan cabaran kehidupan.
Zaini yang merupakan anak kelahiran Sungai Lampam, Pasir Salak, Perak, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam sebelum ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di sekolah khas di Teluk Intan selama hampir tiga tahun sebelum meneruskan pengajian di Masjid Kampung Melayu Teluk Intan selama setahun dan memperoleh Sijil Khas Thanawi. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di sebuah maahad di Padang Rengas, Perak.
“Selepas menamatkan pengajian, saya menyertai tentera pada 1973 dan bersara pada 1994. Sepanjang tempoh itu, saya menyertai Kor Perkhidmatan Pengangkutan selama 11 tahun dan memasuki bidang agama Kor Tentera selama lapan tahun.
“Saya kemudian menjawat jawatan Pembantu Agama Kanan Kor Agama ATM. Sepanjang berkhidmat, saya bertugas di Johor Bahru, Sarawak, Taiping dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Kuala Lumpur,” katanya.-UTUSAN










