KUALA LUMPUR: Kejayaan dalam dunia perniagaan bukan hanya bergantung pada keuntungan yang diraih, malah turut mencerminkan kemampuan sesebuah syarikat mengekalkan kelangsungan operasi dan membina legasi dalam industri untuk tempoh panjang.
Pendekatan itu menjadi antara penekanan utama Asia Influential Award 2026 yang mengiktiraf pencapaian usahawan serta pemimpin perniagaan dari lebih 22 negara di Asia.
Pengerusi penganjur Asia Influential Award 2026, Dr Jann Lim Shiek Ni berkata, anugerah berkenaan diwujudkan bagi menghargai usaha dan perjalanan kejayaan usahawan, selain mengetengahkan kisah mereka sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat serta penggiat industri.
“Asia Influential Award ini bertujuan mengiktiraf usahawan dan pemimpin perniagaan dari pelbagai negara Asia, selain menghargai usaha mereka serta membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali kisah kejayaan dan perjalanan perniagaan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, pengiktirafan itu turut diberikan kepada syarikat yang berjaya mengekalkan prestasi serta bertahan dalam industri selama beberapa dekad, sekali gus membuktikan kepentingan kesinambungan dalam perniagaan.
Beliau berkata, enam penerima anugerah terdiri daripada syarikat yang sudah beroperasi lebih 30 tahun, manakala kira-kira 10 lagi mewakili organisasi yang mempunyai pengalaman melebihi 20 tahun dalam industri masing-masing.
Antara penerima yang diketengahkan ialah Hospital Assunta, yang mempunyai sejarah operasi selama 94 tahun, sekali gus memperlihatkan bagaimana legasi sesebuah organisasi mampu membina kepercayaan dan mengekalkan kedudukannya dalam industri.
Dalam pada itu, Dr Jann berkata, pemilihan penerima dilakukan menerusi tiga peringkat utama, bermula dengan pencalonan sebelum setiap calon dinilai oleh panel juri dari negara berbeza.

Proses berkenaan turut melibatkan pemantauan bagi memastikan syarikat yang dicalonkan memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk beroperasi melebihi tiga tahun dan mencatat jumlah perniagaan sekurang-kurangnya satu juta.
Penganjuran edisi 2026 merupakan kali kedua anugerah itu diadakan selepas diperkenalkan sebagai ASEAN Influential Award pada tahun lalu, sebelum namanya diubah bagi mencerminkan peluasan skop pengiktirafan ke lebih banyak negara di Asia.
Edisi kali ini menghimpunkan penerima dari beberapa negara, termasuk Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand, China, Taiwan dan India, selain turut dihadiri wakil kepimpinan tempatan dari Filipina.
Dr Jann berkata, pihak penganjur berhasrat menjadikan anugerah berkenaan sebagai acara tahunan bagi terus menghargai pencapaian usahawan serta mengetengahkan kisah kejayaan perniagaan daripada pelbagai latar belakang.
Melalui penganjuran itu, Asia Influential Award bukan sahaja mengiktiraf pencapaian semasa, malah berusaha mengetengahkan nilai ketekunan, kepimpinan dan kelangsungan perniagaan yang menjadi asas kepada pembentukan legasi sesebuah syarikat.











