MOSCOW/ASHGABAT: Russia yang kerap dianggap sebagai negara seteru Amerika Syarikat (AS) kini menunggu peluang untuk terlibat dalam menamatkan perang Iran yang dimulakan oleh Washington bersama Israel pada 28 Februari lalu.
Moscow yang sebelum ini menyokong Teheran sejak sekian lama mula mengorak langkah apabila tanpa berselindung menawarkan kepada Republik Islam itu untuk melakukan apa sahaja bagi membantu menyelesaikan perang di Asia Barat.
Tawaran itu diberikan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin yang memberitahu rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian ketika kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan di Turkmenistan menjelang sidang kemuncak serantau kelmarin.
“Kami bersedia melakukan segala yang termampu untuk membantu menyelesaikan situasi ini,” kata Putin, menurut media Russia.
Beliau turut berkata, Iran sudah melakukan usaha sebenar untuk menamatkan perang sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel bermula pada 28 Februari.
Dalam panggilan telefon pada Rabu, Putin juga memberitahu Pezeshkian beliau bersedia membantu menjadi orang tengah dalam konflik Asia Barat, menurut agensi berita negara Iran, IRNA.
Hubungan diplomatik yang diperbaharui itu berlangsung ketika usaha rundingan di saluran lain dilihat menemui jalan buntu.
Pemimpin Russia itu turut menyentuh perkembangan positif hubungan antara Moscow dan Teheran, dua negara yang berdepan antara sekatan antarabangsa paling berat di dunia.
Russia dan Iran memperkukuh kerjasama diplomatik serta ketenteraan sejak Moscow melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Februari 2022, dengan kedua-dua negara semakin bergantung antara satu sama lain.
Ukraine dan kerajaan Barat menuduh Iran membekalkan dron Shahed serta peluru berpandu jarak dekat kepada Russia untuk digunakan dalam perang itu.
Sementara itu, Russia turut dituduh membekalkan maklumat kepada Iran bagi membantu serangan negara itu terhadap sasaran AS di Asia Barat.
Pertemuan pada Khamis bukanlah hubungan terbaharu antara kedua-dua pemimpin itu.
Putin dan Pezeshkian turut mengadakan pertemuan di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Kyrgyzstan bulan lalu.
Awal minggu ini, Pezeshkian berkata, rundingan antara Iran dan AS sudah tidak bermakna. Usaha menyelesaikan perang Russia di Ukraine juga masih menemui kebuntuan, meskipun kedua-dua pihak meningkatkan serangan.
Pertemuan Putin dan Pezeshkian merupakan antara beberapa rundingan dua hala yang dijadualkan berlangsung di luar sidang kemuncak Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), yang bermula pada Jumaat di Avaza, sebuah pusat peranginan di pesisir Laut Kaspia, kata pembantu dasar luar Kremlin, Yuri Ushakov.
Pemimpin Armenia, Azerbaijan, Belarus, Turkmenistan dan beberapa negara Asia Tengah lain dijadual menghadiri sidang kemuncak itu bersama Putin dan Pezeshkian.
CIS ditubuhkan pada 1991 bagi mengurus kesan kejatuhan Kesatuan Soviet serta mengekalkan hubungan antara bekas republiknya.
Bagaimanapun, keanggotaan blok itu semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Georgia menarik diri selepas perang dengan Russia pada 2008, manakala Ukraine menghentikan penyertaannya susulan pengilhakan Crimea oleh Moscow pada 2014.
Moldova pula meninggalkan blok itu pada 2023 ketika berusaha menjalin hubungan lebih rapat dengan Kesatuan Eropah (EU).
“Bagi Russia yang semakin terasing sejak melancarkan perang di Ukraine, CIS menjadi bukti bahawa negara itu sebenarnya mempunyai lingkungan pengaruh tersendiri yang diperkukuh dan diinstitusikan,” kata penyelidik Pusat Carnegie Russia Eurasia di Berlin, Temur Umarov kepada AFP.











