SETELAH 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik nasyid tanah air, kumpulan terkenal Hijjaz akhirnya merealisasikan impian dengan penganjuran konsert solo mega Rindu Sumayyah yang akan dipentaskan pada 16 dan 17 Oktober ini di Istana Budaya.
Dan tentunya, apa yang lebih membanggakan adalah konsert tersebut dianjurkan kumpulan Inteam, yang ketika awal kemunculan dahulu merupakan anak didik Hijjaz.
Anggotanya, Faizal Osman memberi sepenuh kepercayaan kepada kumpulan Inteam, menerusi Inteam Records yang selepas konsert Kasih Kekasih di Idea Live Arena tahun lalu, menyuarakan keinginan mereka untuk menganjurkan sebuah konsert solo buat kekanda mereka.
“Sebelum ini Inteam pernah menyuarakan hasrat untuk menganjurkan konsert Hijjaz. Malah mereka bertungkus lumus mendapatkan peruntukan untuk konsert ini.
“Sebelum ini timbul kerisauan apabila penganjur yang menawarkan kami untuk menganjurkan konsert Hijjaz bukan dalam kalangan yang faham akan penganjuran konsert nasyid. Kami meletakkan harga tinggi dan biarkan penganjur menguruskan semua. Namun akhirnya konsert tersebut tidak berjaya dilakukan.
“Apabila Inteam pula yang menawarkan peluang ini, kami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka atas pengalaman mereka menganjurkan konsert sebelum ini.
“Inteam menunjukkan minat dan perancangan rapi yang mana berjaya meyakinkan kami. Mereka pula berpengalaman dalam membuat persembahan dan sebelum ini pernah menganjurkan konsert nasyid,” katanya semasa sidang media di Istana Budaya, baru-baru ini.
Faizal menganggap keinginan Inteam itu adalah untuk membalas jasa baik sekali gus memberi peluang kepada peminat Hijjaz untuk mengimbau kenangan menerusi lebih 30 lagu yang akan disampaikan nanti.
“Kami merasakan niat Inteam itu baik, malah kami berbesar hati kerana mereka ini adalah anak didik yang pernah menimba ilmu daripada kami. Daripada mereka sekadar kumpulan nasyid yang tidak dikenali, kepada kumpulan yang popular dengan lagu-lagu yang kami cipta untuk mereka.
“Kami ingat lagi satu masa dulu, Hijjaz pernah menampilkan Inteam sebagai artis jemputan untuk persembahan kami, bahkan ada satu ketika kami meminjamkan baju-baju kami, latih mereka membuat persembahan, naik bas bersama-sama ke lokasi persembahan semata-mata untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.
“Begitu juga dengan kumpulan Mestica dan UNIC, yang juga berjaya mendapat manfaat daripada ilmu yang kami turunkan. Cuma didikan kami lebih cenderung kepada kumpulan Inteam yang ada antara ahlinya merupakan pelajar bidang kejuruteraan sewaktu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Kami berbangga dengan Inteam kerana mereka adalah anak didik kami yang berjaya dan nama mereka tidak pernah jatuh sejak awal kemunculan hingga sekarang, Alhamdulillah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi anggota Hijjaz, Isman Nadim Isman berkata konsert itu nanti akan juga menjadi tribute buat rakan seperjuangan mereka dalam bidang nasyid, termasuk Allahyarham Salleh Ramli yang pergi menghadap Illahi pada 2001.
“Meskipun beliau lama meninggal dunia, namun semangat terus bersama Hijjaz. Malah saya abadikan beliau dalam salah satu perkongsian saya di media sosial.
“Arwah antara ahli Hijjaz yang rapat dengan peminat dan kerana itu jugalah dia telah menubuhkan kelab peminat Sahabat Hijjaz.
“Dia seorang yang sangat kreatif. Sebenarnya tidak lengkap keharmonian suara Hijjaz tanpa arwah. Dan lagu Kau Sahabat Kau Teman sebenarnya menceritakan tentang apa yang terbuku di hati kami mengenai arwah,” ujarnya.
Mengenai muzik orkestra yang bakal mengiringi persembahan pada konsert berkenaan, Isman memaklumkan perkara itu bukan yang pertama kerana sebelum ini pernah beberapa Hijjaz tampil dengan konsep yang sama.
“Sebelum ini, kami pernah melakukan persembahan di Singapura, diiringi orkestra bersama penyanyi Mawi, Datuk Ramli Sarip dan penyanyi Indonesia, Opick.
“Jadi, membuat persembahan sambil diiringi orkestra bukan perkara baharu bagi kami, namun sebelum ini hanya diberi kesempatan untuk menyanyi beberapa lagu. Cuma pada konsert kali ini, kami berpeluang untuk menyanyi diiringi orkestra untuk 30 lagu. Itu satu penghormatan bagi kami.
“Alhamdulillah, pada kali ini kami diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya. Ini peluang yang tidak kami sia-siakan. Insya-Allah tidak kami sia-siakan,” katanya lagi.

KAU SAHABAT KAU TEMAN
Menyingkap kenangan pembikinan lagu Kau Sahabat Kau Teman yang menjadi menjadi antara lagu popular selain Fatamorgana dan Sumayyah, Isman memaklumkan lagu tersebut dihasilkan tidak lama selepas pemergian arwah Salleh.
“Selepas arwah meninggal dunia, kami masing-masing diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sebuah lagu. Lagu terbaik akan dipilih untuk dirakamkan, dan kemudian diterbitkan.
“Selain menyanyi, kami juga mencipta lagu. Dan ceritanya, lagu Kau Sahabat Kau Teman, ciptaan Munif, siap lebih awal. Jadi, lagu itu dipilih.
“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik bagi sesiapa sahaja yang dijemput Illahi. Jadi, lagu ini dicipta untuk mengenang jasa dan pengorbanan arwah dan juga rakan-rakan seperjuangan yang pergi mendahului kita.
“Lagu ini boleh dikaitkan dengan semua orang yang melalui pengalaman, termasuk golongan ‘mat rempit’ yang menjadikannya sebagai lagu tema kepada rakan-rakan mereka yang telah meninggal dunia,” ujarnya.
Faizal dalam masa sama memaklumkan Hijjaz pernah meminta lagu kepada Datuk M. Nasir. Namun permintaan itu ditolak kerana maestro tersebut merasakan lagu-lagu ciptaan Hijjaz sudah cukup sedap didengar.
“Kami pernah minta M. Nasir merangka sebuah lagu untuk kumpulan Hijjaz. Namun permintaan itu ditolak atas kerana alasannya lagu yang kami hasilkan sudah cukup bagus.
“Bukan apa, selain menyanyikan lagu sendiri, kami juga mahu lagu daripada komposer lain untuk dinyanyikan. Namun perkara itu ditolak M. Nasir,” kongsinya.

MISI KEMANUSIAN SYRIA, GAZA
Mengenai misi kemanusiaan, Hijjaz antara artis nasyid yang mempunyai banyak pengalaman, terbang ke bumi Syam untuk menghantar sumber ubat-ubatan.
Berkongsi cerita, Isman memaklumkan mereka menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang membawa mereka ke Gaza pada 2013 dan Syria (2015).
Menurutnya, dua misi itu antara yang paling memberi kesan mengenangkan kedhaifan rakyat yang hidup di kawasan bergolak.
“Kami ke Gaza, Palestin menghantar keperluan ubat-ubatan seperti ubat bius dan cuci luka. Masa itu, kami perlu melepasi berbelas pemeriksaan ketenteraan yang mana satu check point itu memerlukan kami berhenti selama tiga jam untuk diperiksa sepanjang perjalanan menuju Rafah. Alhamdulillah tidak ada masalah.
“Cuma pemeriksaan itu memakan masa yang lama. Bayangkan kami bertolak selepas Subuh, hanya melepasi kesemua pemeriksaan ketenteraan menjelang waktu Maghrib.
“Meskipun sampai ke destinasi, perjalanan yang kami tempuh tidak dimudahkan,” ujarnya.
Faizal memaklumkan bumi Gaza dan Syria merupakan tempat yang cukup tenang meskipun hampir setiap hari dibedil dan dihancurkan.
“Gaza antara tanah yang disebut sebagai bumi Syam, yang dinaungi Malaikat. Meskipun dibedil sana dan sini, namun persekitarannya tenang, berbeza keadaannya dengan Mesir.
“Yang paling menyedihkan di sana adalah kehancuran. Kebanyakan masyarakat di Gaza berlindung di bawah tanah, yang pada ketika itu suhu persekitarannya mencecah -15 darjah Celcius. Kami mengenakan jaket tebal namun orang tempatan bertahan dengan pakaian biasa.
“Tapi keadaan di Gaza amat menyedihkan. Kehancuran di merata tempat. Golongan yang dulunya kaya, bertukar miskin.
“Di sana bahan makanan terhad. Kita di Malaysia, mewah dengan makanan.
“Di Gaza, sumber makanan terlalu sedikit. Kami di sana hanya mengalas perut dengan roti kering, itu pun kerana kami ini tetamu. Tapi mereka terpaksa mengikat perut,” ujarnya.
PENERIMAAN MUZIK NASYID GENERASI MUDA
Disoal mengenai sambutan muzik nasyid zaman sekarang, Isman memaklumkan perkara itu sudah berubah mengikut cita rasa lagu pendengar masa kini.
Katanya, perkara itu menjadi kebimbangan kepada Hijjaz yang 15 tahun sepi tanpa album baharu secara bersama.
“Contohnya, sempena konsert ini, kami hasilkan sebuah album baharu yang memuatkan enam buah lagu yang diterbitkan Inteam Digital. Dan lagu-lagu yang diciptakan di dalam ini hadir dalam genre berbeza, ada lagu Inang, Joget, Timur Tengah dan pelbagai lagi.
“Antara lagu yang mendapat sambutan adalah Akhir Bersamamu ciptaan Faizal yang menampilkan genre Pop. Nampaknya, hasil percubaan kami untuk mengetengahkan nasyid dalam genre yang berlainan, menjadi. Generasi sekarang tertarik dengan lagu ini.
“Mungkin cara nyanyian kami masih dikekalkan, tapi genre muzik yang dipersembahkan, berbeza. Itu yang menarik pendengar sekarang untuk mengikuti lagu nasyid,” katanya.
Kata Isman lagi, dia terkejut dengan sambutan golongan muda yang cukup menyokong album berkenaan sehingga menganggap album terbaru itu boleh menyaingi album Hijjaz yang terdahulu.
“Alhamdulillah, album Akhir Bersamamu ini, menurut peminat mampu menyaingi atau menggantikan album Rindu yang kami terbitkan pada 1999.
“Puas kami fikirkan formula bagaimana yang menarik minat pendengar untuk mendengarkan muzik kami.
“Ditambah pula dengan kehadiran ramai kumpulan nasyid yang membawa muzik pelbagai sekarang ini,” kongsinya.











