HASIL sektor awam disatukan (CPS) dianggarkan meningkat kepada RM375.2 bilion pada 2026 disokong oleh usaha berterusan melalui peluasan asas cukai oleh Kerajaan Persekutuan diikuti dengan peningkatan hasil berkaitan minyak oleh Syarikat Awam Bukan Kewangan (SABK).
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, perbelanjaan mengurus (OE) dijangka bertambah disebabkan oleh subsidi bahan api yang lebih tinggi, menjadikan lebihan semasa menyederhana kepada RM49.6 bilion.
Pada masa yang sama, lapora berkata, perbelanjaan pembangunan sektor awam dijangka melonjak sebanyak 23.9 peratus kepada RM181.5 bilion didorong oleh peningkatan perbelanjaan modal SABK untuk membiayai inisiatif utama dalam sektor tenaga, perkhidmatan utiliti, rangkaian digital dan infrastruktur pengangkutan awam.
“Defisit CPS dianggar sebanyak RM131.9 bilion atau 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas transaksi sektor awam diasingkan.
“Kedudukan kewangan kerajaan am disatukan merangkumi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan badan berkanun persekutuan.
“Kedudukan kewangan ini mengukur aktiviti dan fungsi ekonomi yang dijalankan secara kolektif, termasuk penyediaan barangan dan perkhidmatan awam serta pengagihan semula pendapatan dan kekayaan,” katanya.
Menurut laporan, hasil kerajaan am disatukan dijangka meningkat kepada RM436.1 bilion pada tahun ini terutamanya disokong oleh kutipan cukai Kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh susulan penambahbaikan dasar dan langkah pentadbiran cukai.
Sementara itu, OE disatukan dijangka meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada RM419.6 bilion pada 2026 berikutan subsidi bahan api yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan lebihan semasa kerajaan am dianggar berjumlah RM16.5 bilion.
“Perbelanjaan pembangunan (DE) yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun persekutuan dijangka meningkatkan DE disatukan sebanyak 1.3 peratus kepada RM90.6 bilion.
“Defisit keseluruhan kerajaan am disatukan dijangka berjumlah RM74.1 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK pada 2026 selepas semua pindahan dan pinjaman bersih diasingkan,” ujarnya.
Laporan turut menyatakan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan kekal sebagai sumber pembiayaan utama bagi kerajaan am.
“Merujuk kepada Artikel 111 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya boleh meminjam daripada Kerajaan Persekutuan manakala Artikel 112B membenarkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak memperoleh dana mengikut undang-undang negeri tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Sementara itu, Seksyen 41 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan diberikan kuasa meminjam untuk tujuan pembangunan tertakluk kepada kelulusan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri bagi memastikan penyelarasan pengurusan fiskal peringkat negeri,” jelasnya.-UTUSAN











