Pelakon baharu, Zaid Erakad, 28, tidak melihat kemunculan ramai bakat baharu dalam industri hiburan sebagai persaingan sengit, malah menganggap ia perkembangan positif yang perlu diraikan.
Zaid yang pernah menyertai pertandingan Hero Remaja 2021 berkata, dia lebih selesa melihat perjalanan kerjaya rakan-rakan seperti Amir Ahnaf dan Mierul Aiman yang pernah bersamanya dalam pertandingan berkenaan berbanding menganggap mereka sebagai pesaing.
Menurutnya, setiap pelakon mempunyai perjalanan dan rezeki berbeza dalam industri, justeru dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang siapa lebih cepat mencipta nama atau mendapat lebih banyak tawaran.
“Elok saya tengok pesaing kawan-kawan saya. Mereka sudah tahap hero. Tapi saya tak rasa bersaing pun dengan mereka, kami pun masih berhubung antara satu sama lain dan lepak macam biasa.
“Macam mana pun bagi saya, rezeki masing-masing. Ada orang yang naik laju terus, ada orang yang memang perlahan, tetapi dia tetap ada dalam industri seni. Jadi, benda itu saya rasa sihat untuk saya dan saya tak ada masalah,” katanya.
Zaid berkata, tidak dinafikan perasaan cemburu tetap wujud apabila melihat rakan-rakannya bergerak lebih pantas dalam kerjaya, namun perasaan itu tidak pernah mengatasi rasa bangga terhadap pencapaian mereka.
“Cemburu, sudah tentu ada. Tetapi lebih kepada rasa seronok sebab kita nampak yang kita sama-sama bermula dari tempat yang sama, cuma mereka pergi ke depan dulu. Saya gembira tengok mereka berjaya sebab kita bermula bersama. Jadi, saya tak rasa itu sesuatu yang perlu saya jadikan persaingan atau perkara yang membuatkan saya rasa tertinggal,” katanya.

Bagi Zaid, kejayaan rakan-rakannya itu turut memberi motivasi kepadanya untuk terus bertahan dalam industri walaupun perjalanan dilalui tidak sentiasa mudah.
“Alhamdulillah, saya tengok benda itu sebagai sesuatu yang baik. Kalau mereka berjaya, saya pun tumpang gembira. Saya memang ada impian untuk berada di sebelah mereka juga suatu hari nanti dan mencapai tahap yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Zaid tidak menafikan pernah berada pada satu tahap sehingga merasakan mahu meninggalkan bidang lakonan selepas bertahun-tahun menjalani uji bakat tanpa kepastian untuk mendapat sesuatu watak.
Bagaimanapun, pelakon itu memilih untuk terus mencuba biarpun pernah menganggap sesi uji bakat yang dihadirinya sebagai satu bentuk harapan yang belum tentu berakhir dengan rezeki.
“Saya memang rajin pergi uji bakat.Tetapi selepas beberapa tahun, rasa penat juga sebab bukan setiap kali kita pergi uji bakat, kita akan dapat watak. Tiada jaminan.
“Saya rasa waktu itu macam satu harapan palsu. Tetapi saya pergi juga. Walaupun saya sudah tahu mungkin ada atau mungkin tak ada, saya malas nak fikir terlalu banyak. Saya cuma cuba selagi boleh,” katanya.

Bagaimanapun, rezeki Zaid akhirnya berubah apabila dia ditemukan dengan pengurus yang menurutnya sudah memerhati potensinya selama kira-kira dua tahun menerusi platform TikTok.
Lebih menarik, tawaran yang muncul hadir pada waktu dirinya sudah hampir mengambil keputusan untuk berhenti daripada bidang seni.
“Pada waktu itulah dia DM saya dan tanya sama ada saya mahu hadir uji bakat. Dalam kepala saya waktu itu cuma fikir, tak apalah, saya pergi untuk cuba kali terakhir. Tetapi saya terkejut sebab dari sesi itu saya dapat tawaran untuk sebuah filem.
“Dari situ saya rasa seakan masih ada sinar dan mungkin ini jalan yang patut saya teruskan,” katanya.
Kini, Zaid semakin aktif mengembangkan kerjayanya dengan mencuba watak yang lebih serius dan berbeza daripada karakter komedi yang sering dibawanya sebelum ini.
Antara projek terbaharunya adalah drama Sumpah Mencintai, yang menyaksikan dia memainkan watak antagonis dengan karakter yang mempunyai elemen personaliti berbeza.
Zaid mengakui watak itu menjadi cabaran baharu kerana sebelum ini dia lebih banyak diberikan karakter bersifat santai, lucu dan happy-go-lucky.
“Saya tiada masalah dengan kedua-dua jenis watak, sama ada antagonis atau watak baik. Tetapi saya sudah penat juga sebenarnya buat watak yang happy-go-lucky sebab hampir setiap kali saya berlakon, dari awal sampai beberapa drama sebelum ini, saya banyak diberikan watak lawak.
“Jadi, apabila dapat watak jahat seperti ini, saya rasa ia satu peluang untuk tunjukkan sisi lain dan buktikan saya juga boleh bawa watak lebih serius,” katanya.
Selain Sumpah Mencintai, Zaid sebelum ini turut muncul dalam beberapa drama termasuk Layang-Layang Perkahwinan, Boleh Saya Bantu serta Thariq Ridzuwan : His Treasure selain membuat penampilan cameo dalam Kudrat.











