KEDUDUKAN kewangan kerajaan negeri secara keseluruhan dijangka kekal kukuh pada 2026 dengan lebihan akaun semasa diunjurkan sebanyak RM18.3 bilion, meskipun berdepan peningkatan perbelanjaan mengurus dan penyusutan hasil.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, hasil disatukan kerajaan negeri diunjurkan menurun 2.2 peratus kepada RM39 bilion, dengan hasil janaan negeri menyumbang RM28.1 bilion atau 72.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Pada masa sama, pindahan dan geran daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat lapan peratus kepada RM10.8 bilion, mencerminkan peranan penting sokongan fiskal Persekutuan dalam memastikan kestabilan kewangan negeri, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan hasil.
“Dari segi penjanaan hasil, Sarawak, Sabah, Selangor, Perak dan Johor kekal sebagai penyumbang utama dengan sumbangan kolektif sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan hasil janaan negeri.
“Prestasi itu menggambarkan perbezaan skala ekonomi serta kelebihan sumber semula jadi yang dimiliki negeri berkenaan dalam menjana pendapatan,” menurut laporan.
Laporan itu turut mengunjurkan hasil cukai meningkat secara marginal sebanyak 0.7 peratus kepada RM12.9 bilion, bersamaan 33.2 peratus daripada jumlah hasil.
Peningkatan berkenaan disokong oleh hasil cukai langsung yang dijangka bertambah 3.9 peratus kepada RM9.3 bilion, sebahagian besarnya daripada cukai berasaskan tanah.
Bagaimanapun, hasil cukai tidak langsung diunjurkan menyusut 6.7 peratus kepada RM3.6 bilion, terutama dipengaruhi kutipan cukai jualan Sabah dan Sarawak.
Hasil bukan cukai, termasuk pendapatan pelaburan dan premium tanah, turut dijangka berkurang 1.5 peratus kepada RM15 bilion, sekali gus menyumbang kepada penyusutan keseluruhan hasil kerajaan negeri.
Dari sudut perbelanjaan, perbelanjaan mengurus (OE) disatukan diunjurkan meningkat 10.5 peratus kepada RM20.7 bilion, didorong keperluan peruntukan lebih tinggi bagi emolumen susulan pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Peningkatan itu turut mengambil kira peruntukan bagi perkhidmatan dan bekalan untuk memastikan kelangsungan operasi serta penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Sejajar dengan peningkatan perbelanjaan mengurus yang mengatasi pertumbuhan hasil, lebihan semasa disatukan dijangka menyusut kepada RM18.3 bilion.
Bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan (DE) bersih disatukan dijangka terus berada pada paras tinggi, meningkat 4.7 peratus kepada RM15.9 bilion.
Peruntukan itu mencerminkan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur utama dan kemudahan awam, termasuk menaik taraf jalan raya serta jambatan, meningkatkan sistem rawatan dan pengagihan air, membangunkan sistem saliran dan tebatan banjir serta memperkukuh infrastruktur sektor pertanian, perindustrian dan kemudahan masyarakat.-UTUSAN











