Limpahan ekonomi kukuh perlu sampai kepada rakyat

Limpahan ekonomi kukuh perlu sampai kepada rakyat

Menteri Ekonomi II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2027 selesai di Parlimen Malaysia di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati rakyat menerusi Belanjawan 2027, khususnya dalam menangani kos sara hidup serta meningkatkan kualiti penggajian dan pekerjaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan ekonomi negara menunjukkan momentum positif hasil usaha yang dilaksanakan kerajaan menerusi Kerangka Ekonomi Madani sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran sekitar tiga peratus dan inflasi 1.9 peratus antara petunjuk perkembangan ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, katanya, pencapaian menerusi angka ekonomi semata-mata tidak memadai sekiranya manfaatnya tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

“Usaha kita dalam Belanjawan 2027 adalah untuk memastikan limpahan yang didapat kerana negara telah berjaya menjadi satu negara perdagangan yang baik akan turun kepada rakyat,” katanya semasa sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2027 di pekarangan lobi Parlimen, hari ini.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira maklum balas pelbagai pihak menerusi sesi jelajah, perbincangan dan maklum balas rakyat dalam merangka keutamaan belanjawan kali ini.

Katanya, antara fokus utama ialah menangani kos sara hidup, meningkatkan kualiti penggajian dan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Usaha-usaha meningkatkan tata kelola juga ditingkatkan kerana apabila tata kelola lebih baik dalam negara, hasilnya ada dan juga dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan belanjawan bukan tanggungjawab satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua agensi kerajaan serta sokongan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil.

Jelasnya, asas ekonomi yang dibina sejak empat tahun lalu perlu terus diperkukuh bagi memastikan peluang ekonomi kepada rakyat semakin berkembang dan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih meluas. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini