ANUGERAH muzik MTV 2026 melabuhkan tirai untuk edisi ke-46 di Teater Peacock Los Angeles, Amerika Syarikat bagi mengiktiraf kecemerlangan penggiat seni. Majlis gilang gemilang itu dihoskan oleh Snoop Dogg dengan 23 kategori yang dipertandingkan. Berikut adalah lima momen yang paling mencuri perhatian untuk MTV VMA tahun ini.

Vokal Sombr, Raye dilihat gagal tandingi aura George Michael
Tidak hanya Taylor Swift, malah Sombr dan Raye juga menuai kritikan apabila dikatakan gagal membawakan persembahan tribute mendiang George Michael.
Sombr memulakan persembahan medley menerusi lagu Father Figure dan Faith.
Namun persembahan tersebut dilihat serba tidak kena apabila vokalnya dilaporkan tidak cukup solid.
Segmen tersebut diteruskan dengan penampilan Raye. Walaupun penyanyi itu cukup menyerlah ketika persembahan solonya sendiri, namun aura beliau dilihat sedikit ‘malap’ sewaktu membawakan lagu I Knew You Were Waiting for Me iaitu duet ikonik Michael bersama Aretha Franklin.

Lisa gegar pentas VMAs dengan ‘Sawadika’
Anggota kumpulan Blackpink, Lisa, membuktikan pengaruh luar biasanya apabila tampil solo dan mencuri tumpuan sepenuhnya pada acara kemuncak. Rapper kelahiran Thailand itu melakar sejarah sebagai artis K-pop pertama yang berjaya membawa pulang trofi Moon Person bagi kategori Pop Terbaik menerusi lagu Dream.
Tidak sekadar membawa pulang anugerah, Lisa turut menggegarkan Teater Peacock menerusi persembahan sulung televisyen bagi lagu tunggal baharunya yang berjudul Sawadika dengan koreografi babak aksi lawan, menyaksikan Lisa ‘bertarung’ dengan barisan penari latarnya di atas pentas.

Madonna kembali selepas 23 tahun
Madonna membuat kejutan apabila tampil sebagai persembahan pembuka MTV VMA selepas 23 tahun kontroversi ciuman ikonik bersama Britney Spears pada tahun 2003.
Madonna, yang terkenal dengan persembahan berani sejak era 80-an, membuktikan bisanya belum hilang apabila membawakan dua lagu daripada album terbaharunya, Confessions II.
Madonna memulakan persembahan dengan lagu Bring Your Love bersama bintang meningkat naik, Sabrina Carpenter sebelum diikuti lagu Danceteria bersama Charli XCX.

Taylor Swift perkenal ‘Patient Zero’
Percaturan Swift untuk melancarkan muzik video terbaharunya, Patient Zero pada malam tersebut dianggap sebagai satu langkah yang kurang memberi impak kerana tidak kreatif dan hanya mengitar semula produk yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Bukan itu sahaja, ucapannya ketika anugerah penghormatan Artist Director Honors juga hambar dan kurang berjiwa kerana gagal menghuraikan perincian seni dalam karyanya sebagai pengarah. Malah, ada juga berpandangan bahawa sudah masanya selebriti itu berehat daripada menghasilkan kerja kreatif.

Kacey Musgraves beri penghormatan lEgenda muzik Dolly Parton
Penyanyi, Kacey Musgraves dipilih untuk mengetuai segmen penghormatan buat legenda muzik country, Dolly Parton yang menghembuskan nafas terakhir pada Ogos lalu. Pemilihan Kacey dianggap sebagai keputusan yang paling tepat menyanyikan lagu-lagu Parton dalam siri jelajah Middle of Nowhere.
Paling mencuri perhatian apabila Musgraves berjaya menyampaikan lagu hits paling ikonik Parton I Will Always Love You dengan versinya yang tersendiri dengan paparan video arkib ketika mendiang Dolly Parton berusia 30-an.











