PETALING JAYA: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru kerajaan agar memperkukuh sokongan terhadap industri muzik tempatan menerusi Belanjawan 2027 dengan menyalurkan pelaburan strategik bagi memacu ekonomi kreatif negara.
Rayuan itu dibuat susulan prestasi luar biasa industri muzik Malaysia yang merekodkan pendapatan sebanyak RM428.3 juta pada tahun 2025 iaitu hasil tertinggi dalam sejarah industri muzik tanah air.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, angka tersebut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 21.5 peratus berbanding RM352.4 juta pada tahun sebelumnya (2024), didorong oleh lonjakan pendapatan penstriman digital dan kutipan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
“Industri muzik Malaysia terus berkembang pesat selari dengan pertumbuhan kandungan digital dan harta intelek (IP). Kami percaya dengan sokongan strategik Kerajaan, industri ini mampu menyumbang lebih besar kepada ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Laporan impak ekonomi oleh PwC menunjukkan industri ini menjana RM19.4 bilion output ekonomi setiap tahun dan menyokong purata 111,000 pekerjaan setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, RIM mengemukakan beberapa cadangan penting untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, antaranya penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia.
Dana khusus itu bertujuan menyokong penyertaan artis tempatan ke pentas antarabangsa, promosi luar negara dan pemasaran digital bagi membolehkan karya Malaysia menembusi pasaran global.
“Malaysia mempunyai bakat dan kepelbagaian bahasa yang unik untuk menjadi pengeksport muzik yang kukuh di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia,” tambah Rosmin.
Selain itu, RIM turut mencadangkan pengenalan insentif Potongan Cukai Berganda sebanyak 200 peratus bagi perbelanjaan syarikat rakaman yang melibatkan latihan pembangunan bakat seperti vokal, persembahan dan perhubungan awam.
Dalam pada itu, menyedari ancaman teknologi semasa, RIM menggesa Kerajaan memastikan rangka kerja hak cipta dilindungi daripada eksploitasi Kecerdasan Buatan (AI) secara komersial tanpa kebenaran.
Persatuan itu juga memohon agar tempoh perlindungan hak cipta bagi rakaman bunyi dipanjangkan daripada 50 tahun kepada 70 tahun bagi menjamin nilai harta intelek jangka panjang.
Cadangan lain yang diutarakan termasuk memperkasakan inisiatif ‘Hari Muzik Negara’ sebagai gerakan nasional untuk meningkatkan penghargaan rakyat terhadap karya tempatan merentasi pelbagai genre dan generasi.
“Belanjawan 2027 seharusnya mengiktiraf industri muzik bukan sekadar sektor hiburan, tetapi nadi penting kepada ekosistem harta intelek dan ekonomi digital Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN











