PETALING JAYA: Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan menjelang akhir Oktober ini, susulan proses penilaian dan kelulusan yang kini berada di peringkat akhir.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berkata, kadar tambang rasmi itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum diumumkan kepada orang ramai.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai kadar tambang yang tular di media sosial baru-baru ini kerana maklumat berkenaan tidak tepat dan bersifat spekulasi.
“Orang ramai perlu menunggu pengumuman rasmi menerusi saluran komunikasi Kementerian Pengangkutan, MRL dan ECRL bagi mengelakkan kekeliruan berhubung kadar tambang sebenar.
“Kadar tambang yang ditetapkan kelak akan mengambil kira kepentingan rakyat serta menawarkan nilai terbaik kepada pengguna,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MRL optimistik pengoperasian komersial ECRL dapat dimulakan lebih awal, iaitu pada pertengahan Disember 2026, bersempena musim cuti sekolah akhir tahun.
“Projek infrastruktur rel nasional itu dijangka meningkatkan kecekapan perhubungan antara Pantai Timur dan Lembah Klang, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan darat bagi pengguna.
“Perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak, misalnya, dijangka mengambil masa kira-kira empat jam menerusi ECRL berbanding sekitar tujuh jam menggunakan jalan raya,” katanya.
Pelaksanaan perkhidmatan itu dijangka menawarkan pilihan pengangkutan alternatif kepada orang ramai, selain berpotensi menyokong aktiviti pelancongan dan merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan yang dihubungkan sepanjang laluan berkenaan.-UTUSAN











