PERTUMBUHAN ekonomi global dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh terdekat disokong oleh pelaburan berskala besar yang berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi dan infrastruktur digital.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2027, kemajuan pesat sektor teknologi tersebut berkeupayaan mengimbangi impak ketara akibat krisis di Asia Barat serta penutupan Selat Hormuz yang mencetuskan kejutan bekalan tenaga.
“Penutupan Selat Hormuz telah melonjakkan harga tenaga ke paras lebih tinggi sekali gus menaikkan kadar inflasi global dan membebankan ekonomi pengimport tenaga menerusi peningkatan kos pengeluaran serta pengangkutan.
“Walau bagaimanapun, pelaburan yang kukuh dalam AI, teknologi dan infrastruktur digital menjadi sumber sokongan penting yang mengekalkan kestabilan paras guna tenaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi global,” katanya.
Tambah laporan itu, situasi berkenaan mewujudkan perbezaan pertumbuhan apabila ekonomi yang bergantung tinggi terhadap teknologi serta negara pengeluar tenaga mencatatkan pengembangan lebih kukuh, manakala ekonomi yang bergantung kepada pengimportan tenaga dan pembuatan tradisional terus berhadapan kekangan.
Bagi 2026, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global diunjur pada kadar 3 peratus meskipun berdepan ketegangan geopolitik, gangguan bekalan tenaga dan ketidaktentuan perdagangan.
“Dalam kalangan ekonomi maju, pertumbuhan dijangka kekal sederhana pada kadar 1.7 peratus memandangkan kos tenaga yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik menjejaskan permintaan domestik serta keyakinan perniagaan.
“Pertumbuhan dalam pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun (EMDE) turut diunjur kekal tidak sekata pada kadar 3.8 peratus berikutan tekanan berbeza antara negara pengimport dan pengeluar tenaga,” katanya.
Laporan itu berkata, kadar pengangguran global dijangka mencatatkan 4.9 peratus yang menunjukkan pasaran tenaga kerja kekal berdaya tahan.
Namun begitu, kadar inflasi global diunjur meningkat kepada 4.7 peratus berikutan kenaikan harga tenaga dan komoditi yang menghakis sebahagian pencapaian kestabilan harga pada tahun sebelumnya.
“Melangkah ke hadapan, ekonomi global diunjur bertambah baik dengan kadar inflasi menyederhana seiring dengan tekanan berkaitan tenaga yang dijangka mereda.
“Masa hadapan berteraskan teknologi akan membantu menstruktur semula pasaran tenaga kerja ke arah tenaga kerja berkemahiran tinggi, di mana ekonomi yang berintegrasi tinggi dalam rantaian bekalan teknologi serta mencapai keterjaminan tenaga akan berkembang pesat,” tambahnya. –UTUSAN











