LONDON: Syarikat pembuat kereta sport ikonik, Lotus telah mengurangkan lebih separuh daripada jumlah tenaga kerjanya di United Kingdom (UK) selepas tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menaikkan tarif bagi jualan kenderaan mewah.
Jenama kereta itu memaklumkan bahawa jumlah kakitangannya kini hanya berbaki 600 orang pada penghujung tahun lalu, berbanding 1,300 orang pada tahun sebelumnya.
Permintaan terhadap produknya di pasaran utama AS terjejas teruk selepas presiden negara berkenaan menaikkan tarif ke atas import kenderaan dari Britain sebanyak 25 peratus.
Tindakan itu turut menyaksikan pengeluar utama Britain yang lain, termasuk Jaguar Land Rover dan Rolls-Royce menghentikan penghantaran kenderaan mereka ke AS sebagai tindak balas.
Lotus pula dilaporkan tidak mengeluarkan sebarang kereta baharu selama lebih tiga bulan bagi menguruskan isu lambakan stok yang berpunca daripada penguatkuasaan tarif berkenaan.
Meskipun kadar cukai import itu kemudiannya dikurangkan susulan siri perundingan antara menteri Britain dan pegawai AS, kemerosotan minat pembeli terhadap kenderaan berkenaan berlanjutan sehingga separuh pertama tahun 2026.
Angka jualan dilaporkan merosot mendadak sehingga 71 peratus kepada 1,539 unit kereta tahun lalu.
Menerusi penyata kewangan yang baharu diterbitkan, pihak syarikat menyatakan bahawa mereka terjejas akibat ketidakpastian tarif global dan perubahan syarat perdagangan sekali gus menyaksikan penurunan ketara dalam tempahan daripada pengedar dan pengguna.
Menurut syarikat itu lagi, pengurangan jumlah pekerja berkenaan mencerminkan fasa peralihan ke arah model operasi yang lebih cekap dan berasaskan permintaan, selain meningkatkan penggunaan perkhidmatan berkongsi bersama pemilik utamanya, Geely.
“Langkah penyesuaian ini dijangka meningkatkan kecekapan dan daya saing jangka panjang. Lotus memastikan pengurusan dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengekalkan keupayaan kritikal serta penyampaian keutamaan perniagaan, termasuk peningkatan pengeluaran berbanding paras tahun 2025,” kata Lotus.
Dalam pada itu, kadar tarif lebih rendah iaitu 10 peratus hanya terpakai untuk 100,000 kenderaan pertama yang dihantar ke AS, yang mana menurut Lotus telah mengehadkan potensi pasaran mereka.
Syarikat itu pada Ogos tahun lalu pernah mengumumkan rancangan mengurangkan kira-kira 550 pekerja, tetapi skala pemberhentian sebenar kini dilihat jauh lebih besar.
Langkah pengurangan pekerja tersebut tertumpu di kilang Lotus yang terletak di Hethel, Norfolk iaitu lokasi yang menempatkan litar ujian terkenal yang dibeli oleh pengasasnya, pasangan suami isteri Colin dan Hazel Chapman pada tahun 1966.
Pemiliknya dari China, Geely, yang turut memiliki jenama Volvo dari Sweden, menegaskan pada tahun lalu bahawa mereka tidak akan menutup kilang di UK berikutan desas-desus yang mendakwa pengeluaran akan dipindahkan ke AS. – AGENSI











