Belanjawan 2027: Apa habuan untuk M40?

Belanjawan 2027: Apa habuan untuk M40?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini akan terus memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih adil, kenyataan itu sedikit sebanyak membangkitkan harapan khususnya dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

Pendapatan golongan M40 sering dilihat tinggi. Namun sebahagian besar mereka turut berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kenaikan harga barangan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan perbelanjaan harian keluarga.

Ramai dalam kelompok ini juga berada di tengah-tengah iaitu antara yang layak menerima bantuan.

Namun apabila kriteria ditetapkan dan mereka tidak memenuhi syarat untuk menerima sebahagian inisiatif kerajaan, keadaan itu menyebabkan mereka sering merasakan kurang mendapat perhatian dalam setiap pembentangan belanjawan.

Tidak dinafikan, kerajaan sebelum ini turut memper­kenalkan beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada M40. Namun, apabila bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi antara tumpuan utama setiap kali belanjawan dibentangkan dan ia tidak dinikmati pula oleh M40, itu menyebabkan mereka merasakan belum mendapat pem­belaan sepenuhnya.

Isu sebenarnya bukan semata-mata tentang jumlah bantuan tetapi sejauh mana dasar kerajaan mengambil kira rea­liti kehidupan setiap kelompok. Golongan M40 juga tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok yang berada dalam keadaan mencukupi sedangkan mereka berdepan pelbagai tanggungan serta perbelanjaan lain yang tidak dapat di­elakkan.

Oleh itu, Belanjawan 2027 wajar membawa pendekatan yang lebih menyeluruh bagi rakyat. Seperti pandangan ramai penganalisis, selain bantuan tunai, kerajaan juga boleh memperluas langkah yang mampu mengurangkan per­belanjaan isi rumah secara langsung, termasuk dalam aspek pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan keperluan asas.

Belanjawan yang diumumkan sepatutnya tidak mewujudkan jurang antara kelompok masyarakat, oleh itu inisiatif yang diberikan mestilah adil dan sampai kepada mereka yang memerlukan dan memberi perubahan kepada kehidupan rakyat.

Pada masa yang sama, rakyat sudah tentu mahukan dasar dan bantuan yang diumumkan hari ini tidak hanya memberikan kelegaan sementara sebaliknya perlu memberikan kesan dalam tempoh panjang.

Belanjawan 2027 juga dilihat penting kerana ia dikatakan sebagai belanjawan terakhir sebelum negara menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Oleh itu, kerajaan mesti menggunakan ruang yang ada untuk membuktikan bahawa setiap keputusan kewangan yang dibuat benar-benar berteraskan kepentingan rakyat. Jika benar ini belanjawan terakhir sebelum PRU16, inilah masa paling sesuai untuk Kerajaan Madani tampil dengan belanjawan bermakna kepada seluruh lapisan masyarakat.

Segala perhatian tertumpu kepada pembentangan Belanjawan 2027 pada pukul 3.30 petang ini. Seperti kelaziman, rakyat menanti khabar-khabar gembira yang benar-benar mampu meringankan beban yang ditanggung kini. Semoga golongan M40 juga boleh melemparkan lebih senyuman kali ini.

 

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN