PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Melaka sudah mengenal pasti calon yang berpotensi diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, calon berkenaan kini dalam proses penilaian oleh parti-parti komponen gabungan itu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Calon telah dikenal pasti dan kini dalam proses penilaian parti-parti dalam PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya tersebut, beliau berkata, sebarang keputusan akan ditentukan menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Kerjasama politik akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH,” katanya.
Sementara itu, Adly menyifatkan tempoh berkempen selama 14 hari yang ditetapkan bagi PRN Melaka memberi peluang kepada calon-calon untuk menjalankan kempen masing-masing.
Menurutnya, tempoh tersebut membolehkan calon memanfaatkan masa yang diberikan sepanjang kempen pilihan raya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan bahawa Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16.
Katanya, hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober, manakala mengundi awal pada 10 November.
“Tempoh berkempen pula bermula selepas pengisytiharan calon pada 31 Oktober sehingga jam 11.59 malam pada 13 November,” katanya. – UTUSAN











