Penerapan nilai murni sejak usia awal menerusi pendekatan pendidikan yang menggabungkan elemen Islam, Bahasa Inggeris dan kreativiti menjadi antara asas penting dalam membentuk generasi kanak-kanak berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri.
Pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi penekanan terhadap pencapaian akademik, malah turut menitikberatkan perkembangan sosial, emosi, sahsiah dan kerohanian kanak-kanak.
Atas usaha berterusan itu, Little Caliphs International Sdn. Bhd. (LCISB) meraih Anugerah Kepimpinan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Islam pada Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Swasta ke-12, 2026, sekali gus mengiktiraf sumbangannya dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam.
Pengiktirafan berprestij itu disampaikan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Swasta 2026 baru-baru ini.
Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LCISB, Datuk Roslan Nordin berkata, pengiktirafan itu merupakan hasil usaha seluruh keluarga besar Little Caliphs yang bersama-sama menjayakan misi organisasi sejak lebih dua dekad lalu.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2003, visi organisasi itu kekal untuk menyinari kehidupan kanak-kanak dengan cahaya Islam sejak peringkat awal kehidupan.
“Visi kami adalah untuk membentuk kanak-kanak yang mempunyai kefahaman yang betul serta sikap positif terhadap Islam dan ilmu pengetahuan.
“Insya-Allah, pengiktirafan ini akan terus menjadi inspirasi kepada kami untuk meningkatkan mutu, melakukan inovasi dan berkhidmat kepada anak-anak serta keluarga dengan penuh amanah,” katanya











