Warden asrama: Bukan isu siapa tetapi bebanan tugas

Warden asrama: Bukan isu siapa tetapi bebanan tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Guru atau bekas anggota tentera jadi warden? Soalan ini nampak mudah tetapi jawapannya tidak boleh diberikan secara semberono. Di sebalik tugas menjaga pelajar di asrama, ada soal keselamatan, disiplin, kebajikan, beban kerja dan paling utama nyawa anak-anak yang diamanahkan kepada sekolah.

Guru bertanggungjawab mengajar, mendidik dan membim­bing murid. Warden pula memastikan keselamatan, disiplin dan kebajikan pelajar, khususnya selepas waktu persekolahan. Kedua-duanya penting, tetapi jangan berpura-pura seolah-olah tugas warden hanya sekadar ‘menjaga’.

Sebaliknya warden perlu memantau pergerakan pelajar, menangani konflik, mengurus kecemasan dan berdepan pelbagai ragam manusia. Ketika orang lain sedang tidur, mereka mungkin masih berjaga. Esok paginya, jika warden itu guru, dia kembali ke kelas dan mengajar seperti biasa.

Di sinilah persoalan timbul, berapa lama kita mahu sistem ini terus bergantung kepada guru yang sudah mempunyai tugas hakiki di sekolah? Cuba bayangkan itu tugas kita?

Ini bukan soal guru tidak mahu menjaga pelajar. Guru tentu mahu anak-anak selamat tetapi guru juga manusia, bukannya robot. Mengajar pada siang hari, mengurus asrama pada malam hari dan kembali ke kelas keesokan paginya bukan perkara kecil sebaliknya berkaitan dengan beban tugas.

Tanyalah guru yang menjadi warden dan dengar sendiri cerita daripada mulut mereka. Guru muda mungkin melihat tugas itu sebagai kelebihan kerana tinggal di asrama lebih memudahkan tanpa perlu menyewa di luar. Namun, bagi yang sudah berkeluarga, situasinya berbeza.

Kelmarin, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sekali lagi mengulangi cadangan mengenai melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera, selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama dimasukkan dalam belanjawan.

Ia wajar dipertimbangkan kerana bukan sahaja boleh me­ngurangkan beban guru tetapi turut memberi ruang kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyumbang pe­ngalaman dalam soal disiplin, pengurusan dan keselamatan.

Tetapi jangan pula kita menganggap bekas tentera sebagai jawapan kepada semua masalah kerana yang dilantik sebagai warden itu tetap memerlukan latihan berkaitan psikologi remaja, pengurusan konflik, buli, perlindungan kanak-kanak dan prosedur kecemasan.

Begitu juga dengan CCTV, rakamannya perlu ada pemantauan dan tindakan susulan. Kalau tidak, pastinya pemasa­ngannya hanya suatu bentuk pembaziran.

Jika kerajaan benar-benar serius menangani isu buli dan ke­selamatan asrama, pendekatannya mesti menyeluruh. Warden sepenuh masa, CCTV, sistem pelaporan, latihan dan pemantauan perlu bergerak serentak.

Mara juga bersedia berkongsi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Jika terbukti berkesan, mengapa tidak dikaji untuk diperluaskan?

Akhirnya, isu ini bukan guru ‘lawan’ bekas tentera tetapi siapa yang paling sesuai, terlatih dan mempunyai masa untuk memastikan pelajar berada dalam persekitaran selamat.

Isu keselamatan anak-anak bukan isu kecil, tetapi amanah yang tidak boleh dipandang ringan. Merekalah generasi pewaris masa depan negara.

Guru atau bekas anggota tentera jadi warden? Satu perkara yang jelas, lantiklah dalam kalangan mereka yang benar-benar mampu menjaga, bukan sekadar ‘ada’ di asrama.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita, Utusan Malaysia.