Dua lelaki didenda RM3,000 curi kabel - Utusan Malaysia

Dua lelaki didenda RM3,000 curi kabel

DUA lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Parit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel dalam kejadian bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri kabel pada bulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Muhammad Halim Hussin, 38, dan Mohamad Solihin Tajudin, 35, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa mencuri dua gulung kabel berwarna hitam milik Telekom Malaysia Berhad dalam dua kejadian berasingan pada 30 September 2026.

Pertuduhan pertama menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi di tepi jalan Batu 7, Kampung Senin manakala pertuduhan kedua berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi di tepi jalan berhampiran perhentian bas, Jalan Seputeh di dalam daerah Perak Tengah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurafiqah Abd Aziz.

Menerusi laporan media sebelum ini, kedua-dua tertuduh yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah terbiar di sekitar kawasan Parit pada 30 September lalu.

Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas empat gulung kabel tertera tulisan Telekom, sebatang pemotong besi, sebatang besi pengait dan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan curi kabel.

Berdasarkan ujian saringan awal air kencing, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN