Satu huruf sehari demi karya khat sempurna

Satu huruf sehari demi karya khat sempurna

YAZID Samsudin menunjukkan bakatnya menghasilkan dan memperkemaskan karya seni khat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.-UTUSAN/KURAITU AINIKAH ZAINUL ARIFFIN CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menghasilkan karya seni khat bukan sekadar menulis ayat al-Quran dengan tulisan indah, sebaliknya menuntut ketelitian, kesabaran dan masa yang panjang sehingga ada pengkarya sanggup mengambil masa sehari hanya untuk memperkemaskan satu huruf.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pengkarya seni khat, Muhammad Yazid Samsudin, 32, sesebuah karya pertandingan boleh mengambil masa sehingga dua bulan untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan serta proses kemasan yang diperlukan.

Beliau berkata, proses paling mencabar bukan hanya ketika menulis, malah pada peringkat akhir dikenali sebagai tartish, iaitu proses memperhalusi dan membaiki setiap huruf supaya hasil tulisan lebih kemas dan sempurna.

“Biasanya saya akan buat satu huruf satu hari. Kalau ada 30 huruf, 30 hari diperlukan untuk proses kemasan itu sahaja.

“Bahagian tartish ini kita membaiki semula tulisan yang sudah dibuat menggunakan pen yang lebih halus supaya setiap huruf dapat dikemaskan,” katanya ketika ditemui pada Pameran Seni Khat Sedunia sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Beliau berkata, sebelum proses kemasan dilakukan, penyusunan idea bagi sesebuah karya boleh mengambil masa kira-kira dua minggu.

Katanya, penulisan asas pula mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

“Untuk pertandingan, saiz karya biasanya sekitar 50 sentimeter kali 70 sentimeter. Kita perlu fikir bagaimana ayat yang diberikan oleh penganjur boleh diolah menjadi sebuah karya.

“Sebab itu, sebelum mula menulis, kita perlu susun idea terlebih dahulu supaya keseluruhan karya nampak seimbang dan menarik,” katanya.

Sementara itu, minatnya terhadap seni khat bermula ketika di sekolah selepas melihat tulisan seorang guru di papan putih.

“Ustaz itu menjadi guru pertama saya dan memberikan buku panduan untuk belajar seni khat,” katanya.

Beliau mula mempelajari seni khat ketika Tingkatan Empat sebelum berguru dengan antaranya Syed Ubaidillah, Datuk Ahmad Zafuan Embong dan Allahyarham Halias Abu Bakar.

“Kalau hendak belajar khat, kita perlu sabar, tekun dan fokus. Kalau boleh, luangkan kira-kira tiga jam sehari untuk latihan.

“Kita tidak boleh belajar hari ini dan terus mahir. Sedikit demi sedikit dan latihan yang konsisten akan membantu kita menguasainya,” katanya.

Sementara itu, karya yang dihasilkan Muhammad Yazid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 merupakan antara karya yang paling diingatinya selepas memenangi pertandingan seni khat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, pertandingan itu dijalankan secara dalam talian ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, saya mendapat tempat pertama dan hadiah RM5,000. Itu antara karya yang paling sentimental bagi saya kerana ia berlaku ketika zaman COVID-19,” katanya.

Menurutnya, penyampaian hadiah pertandingan itu turut dilakukan secara dalam talian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN