KUALA LUMPUR: Kutipan hasil cukai Kerajaan Persekutuan meningkat sembilan peratus kepada RM129.6 bilion sehingga Jun 2026 berbanding RM119.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan itu antara lain disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi serta cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), khususnya daripada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan insurans serta logistik.
“Bagi tahun 2026, pertumbuhan ekonomi Malaysia merekodkan prestasi yang lebih baik pada suku kedua sebanyak enam peratus berbanding suku pertama sebanyak 5.4 peratus, meskipun negara berdepan dengan kejutan rantaian bekalan global yang menjejaskan ekonomi dunia.
“Pencapaian suku kedua ini menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus bagi tahun 2026,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan kutipan cukai negara bagi tahun semasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jelas Chin Tong, Malaysia turut mencatat lebihan dagangan berjumlah RM84 bilion, iaitu peningkatan 449.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
“Kerajaan komited untuk mencapai sasaran kutipan hasil cukai bagi keseluruhan tahun 2026 berjumlah RM343.1 bilion.
“Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus memberi kesan positif kepada peningkatan kutipan cukai,” katanya.
Tambahnya, langkah reformasi percukaian yang bersasar turut berperanan memastikan mekanisme kutipan hasil lebih efektif dan menjadi asas dalam membina kepercayaan pelabur, kestabilan ekonomi serta daya saing negara.
Menjawab soalan tambahan Hamzah mengenai hala tuju sistem percukaian negara, Chin Tong berkata, sistem SST akan diteruskan dengan mengambil elemen tertentu yang baik daripada sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Kerajaan akan serap elemen yang dikatakan bagus dalam sistem GST ke dalam sistem sedia ada. Sistem sedia ada ialah SST tetapi memang ada elemen GST bagi memastikan tidak ada kesan cascading atau kesan berganda dalam percukaian,” katanya.
Katanya, kerajaan mahu meneruskan sistem SST kerana ia lebih mudah difahami dan telah mempunyai sejarah pelaksanaan melebihi 50 tahun.
Jelas Chin Tong lagi, cadangan untuk kembali kepada GST antara lain kerana sistem berkenaan telah diamalkan oleh negara lain, manakala sistem GST atau Cukai Nilai Tambah (Value Added Tax) bermula di Perancis pada 1954.
“Pada masa itu tidak ada e-Invois. Masa itu hanya ada input output. Kenapa GST perlukan input output? Kerana GST masa itu tidak ada e-Invois,” katanya.
Jelas Chin Tong, pelaksanaan GST memerlukan kira-kira 480,000 syarikat bertindak sebagai pihak pengutip cukai berbanding hanya 80,000 syarikat di bawah SST.
“Kita sudah ada e-Invois maka ini tidak akan ada leakage. GST juga tidak semestinya sistem yang paling baik kerana GST memerlukan 480,000 collecting parties.
“Bermakna 480,000 syarikat akan dijadikan ejen pengungut. Tetapi SST memerlukan 80,000 syarikat sahaja. Ini adalah perbezaan antara dua sistem.
“Apa yang kita nak wujudkan ialah satu sistem di mana kita tidak ganggu pihak yang teramai,” katanya.
Katanya lagi, GST juga mempunyai mekanisme direct pass-through kepada pengguna, sekali gus akan menanggung keseluruhan cukai, manakala pihak perniagaan boleh memindahkan kos berkenaan terus kepada pengguna.
“Apa yang kerajaan nak wujudkan ialah satu keseimbangan supaya pengguna tidak diganggu dan perniagaan kita memastikan tidak ada kesan cascading,” katanya. –UTUSAN











