Apa yang ibu bapa mahukan daripada anak-anak?

Apa yang ibu bapa mahukan daripada anak-anak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang pelajar Tingkatan Satu di Kulim, Kedah dilaporkan cedera parah selepas dikatakan terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah.

Menurut polis, pelajar terbabit bertindak demikian akibat mengalami tekanan berkaitan akademik. Mangsa mendakwa pencapaian akademiknya sering dibanding-bandingkan dengan kakaknya yang pastinya mempunyai prestasi lebih baik. Kejadian itu patut membuka pintu hati ibu bapa, apa yang mereka mahukan sebenarnya daripada anak-anak.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 460,000 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) bermula semalam hingga Khamis ini (8 Oktober). Menurut laporan, MPT4 membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan. 

Di media sosial, ramai ibu bapa kongsikan persediaan yang diambil bagi membantu anak-anak mereka menghadapi MPT4 yang julung kali diadakan KPM. Matlamat utama MPT4 adalah untuk mengenal pasti keupayaan sebenar anak-anak agar tindakan susulan boleh diambil bagi mengatasi sebarang kelemahan yang dikenal pasti lebih awal. Ia bukanlah peperiksaan yang mengkelaskan anak-anak, sebaliknya usaha berterusan pihak KPM dan sekolah bagi meningkatkan tahap kemenjadian murid-murid.

Namun, responds ibu bapa sehingga ada dilaporkan sanggup mengambil cuti untuk membantu anak-anak mereka membuat persediaan, menampakkan kecenderungan ibu bapa yang sangat mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Bagi golongan ini, kecemerlangan akademik adalah segala-galanya. Dahulu kita ada peperiksaan awam di peringkat rendah dan menengah, namun dimansuhkan apabila ia dilihat banyak menyumbang kepada pengwujudan jurang atau pengkelasan dalam kalangan pelajar yang semakin ketara. 

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun usaha itu mendapat kritikan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka kurang berminat dan tidak mempunyai motivasi untuk belajar disebabkan tiada peperiksaan utama. Malah, ramai juga yang mendakwa, prestasi kurang memberangsangkan pelajar di peringkat SPM khususnya dalam mata pelajaran tertentu berpunca daripada tiada peperiksaan utama di peringkat lebih rendah. Benarkah begitu? 

Sedar atau tidak, sikap ibu bapalah  sebenarnya menyumbang kepada banyak isu dihadapi anak-anak di sekolah pada masa kini. Antaranya,  sikap ibu bapa mengutamakan `A’ dalam akademik. Selain itu, alasan sibuk bekerja hingga tidak ambil peduli mesyuarat PIBG atau pertemuan dengan guru bagi membincangkan hal ehwal anak-anak di sekolah. 

Bayangkan, ada kelas dengan lebih 30 murid, namun tidak sampai separuh penjaga atau ibu bapa yang hadir pada hari bertemu guru kelas. Rumah adalah sekolah pertama anak-anak dan ibu bapa guru pertama mereka. Ibu bapa sering mendakwa mengenali anak-anak mereka. Benar tapi betulkah? Jika benar ibu bapa mengenali anak mereka, kes buli, pelajar terjun bangunan akibat tekanan dan menikam rakan sendiri, tidak akan wujud di sekolah. Jadi, adakah betul ibu bapa benar-benar mengenali siapa anak mereka? Jika betul, apakah yang ibu bapa mahukan sebenarnya daripada anak-anak mereka?.

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia