KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Seni Khat Sedunia (FAWATIH) menjadi platform penting untuk memperkenalkan keindahan seni khat serta mendekatkan masyarakat dengan al-Quran menerusi pendekatan seni dan warisan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penghayatan terhadap al-Quran bukan hanya melalui pembacaan dan hafazan, sebaliknya turut dapat dizahirkan melalui seni khat.
“Al-Quran bukan sekadar dibaca dan dialunkan dengan suara yang merdu, bukan sekadar kita menghafaz dan mengingat memori al-Quran, tetapi kita juga ingin menyerlahkan bagaimana keindahan al-Quran itu dalam bentuk kesenian,” katanya ketika merasmikan Pameran Seni Khat Sedunia (FAWATIH) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sini, hari ini.
Pameran itu yang julung kali dianjurkan menghimpunkan 34 karya daripada 17 pempamer, termasuk dua Mushaf al-Quran tulisan tangan.
Karya yang dipamerkan mengetengahkan kepelbagaian gaya dan tradisi seni khat, khususnya yang mempunyai pengaruh Arab dan Turki, selain menampilkan penggiat seni khat Malaysia yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.
Penganjuran FAWATIH sebahagian daripada pengisian Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 yang berlangsung hari ini hingga 10 Oktober.
Dr. Zulkifli berkata, penganjuran berkenaan merupakan satu permulaan dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan lebih besar pada tahun hadapan.
“Ini adalah permulaan. Tahun depan lebih hebat, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











