Komitmen kerja terlalu padat, Syed Saddiq, Bella Astillah tangguh bulan madu - Utusan Malaysia

Komitmen kerja terlalu padat, Syed Saddiq, Bella Astillah tangguh bulan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Mungkin selepas berkahwin, kami berbulan madu di Parlimen. Gurau sahaja.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian selorohan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengakui terpaksa menangguhkan perancangan berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.

Menurut Syed Saddiq, keputusan itu terpaksa dilakukan ekoran kedua-duanya masih terikat dengan komitmen kerja yang terlalu padat termasuklah dirinya yang perlu menghadiri persidangan di Parlimen.

“Parlimen bermula minggu depan dan berakhir awal Disember. Orang lain mungkin selepas berkahwin terus pergi berbulan madu, tetapi kami tidak dapat berbuat demikian.

“Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada bakal isteri dan dia sangat memahami bidang kerja saya. Saya sangat bertuah memilikinya sebagai bakal isteri.

“Saya tidak mahu mengabaikan atau ponteng Parlimen semata-mata untuk berbulan madu. Setakat ini, kehadiran dan penglibatan saya di Parlimen masih 100 peratus.

“Jadi, mungkin kami akan tangguhkan dahulu perancangan tersebut sehingga tanggungjawab selesai,” katanya ketika ditemui di sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, Jumaat lalu.

Dalam masa sama, ahli politik itu turut menyifatkan bakal isterinya, Bella lebih kuat bekerja berbandingnya kerana perlu melunaskan beberapa tuntutan kerja seusai majlis perkahwinan mereka.

“Sebenarnya, Bella lebih ‘workaholic’ daripada saya. Selepas berkahwin pun dia sudah mempunyai konsert di luar negara, persembahan dan penggambaran sebagai duta jenama.

“Kalau boleh, saya mahu mengikutinya. Tetapi sekiranya bertembung dengan sidang Parlimen, saya perlu memberikan fokus kepada tanggungjawab hakiki,” jelasnya.

Enggan menjadikan komitmen kerja punca anak-anak bakal isterinya, Ayden dan Ara terabai, Syed Saddiq menyifatkan situasi itu adalah peluang untuk dirinya belajar menyeimbangkan masa dengan baik.

“Dalam menyeimbangkan kerjaya profesional masing-masing, kami juga tidak boleh melupakan Ara dan Ayden yang memerlukan kasih sayang.

“Kami perlu duduk berbincang dan membahagikan masa. Sebagai sebuah keluarga baharu, sedikit sebanyak kami akan belajar,” kongsinya.

Sabtu ini, Syed Saddiq dan Bella Astillah bakal diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup di Menara Merdeka 118.

Kemudian, pasangan itu bakal mengadakan dua majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN