PENDEDAHAN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini menimbulkan persoalan apabila terdapat kenderaan bernilai ratusan ribu ringgit yang masih berada di jalan raya tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah.
Menerusi Op Luxury yang dilaksanakan sejak Jun 2025, sebanyak 3,790 kenderaan disita sehingga 26 September lalu. Lebih mengejutkan, terdapat pemilik yang tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak 2014.
Bagi kenderaan mewah, kos pemilikan sememangnya tinggi. Selain harga pembelian, pemilik perlu menanggung penyelenggaraan, insurans dan cukai jalan. Namun, apabila kewajipan asas seperti memperbaharui LKM dan insurans masih diabaikan, isu ini tidak lagi berkisar soal kemampuan semata-mata, tetapi turut menyentuh sikap terhadap pematuhan.
Penjelasan JPJ memberi gambaran yang lebih jelas. Ada pemilik yang dikatakan enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.
Antara yang banyak dikesan ialah kesalahan had laju dan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
Keadaan ini menunjukkan ketidakpatuhan boleh berlanjutan daripada satu kewajipan kepada kewajipan yang lain. Saman masih belum diselesaikan, LKM dan insurans pula tidak diperbaharui, namun kenderaan terus digunakan di jalan raya.
Lebih membimbangkan, ada kenderaan yang hanya dikesan selepas bertahun-tahun tanpa LKM dan perlindungan insurans yang sah. Situasi ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana ketidakpatuhan seperti ini boleh dikenal pasti lebih awal.
Pemilik kenderaan tidak sepatutnya menunggu sehingga dikenakan tindakan sebelum menyelesaikan kewajipan mereka. LKM dan insurans perlu diperbaharui sebelum kenderaan digunakan, manakala kesalahan yang direkodkan pula perlu diselesaikan mengikut saluran yang ditetapkan.
Isu ini menjadi lebih penting apabila melibatkan insurans. Ketiadaan perlindungan insurans bukan sekadar urusan antara pemilik kenderaan dengan pihak berkuasa. Jika kemalangan berlaku, pengguna jalan raya lain juga boleh menerima kesannya.
Perlindungan pihak ketiga berkait dengan liabiliti terhadap kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda pihak lain. Apabila perlindungan itu tiada, urusan tuntutan dan pampasan boleh menjadi lebih sukar kepada pihak yang terlibat.
Atas sebab itu, Op Luxury wajar diteruskan secara konsisten. Kejayaan penguatkuasaan bukan hanya pada jumlah kenderaan yang disita tetapi juga pada keupayaan mengesan ketidakpatuhan lebih awal dan mencegahnya daripada berlarutan.
Tidak kira mahal atau murah sesebuah kereta, semua pengguna berkongsi jalan raya yang sama. Mampu memiliki kenderaan juga bermakna mampu memikul tanggungjawab yang datang bersamanya. –UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Pensyarah Kanan,
Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan,
Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)











