Belanjawan: Jangan hanya fikir apa kita dapat

Belanjawan: Jangan hanya fikir apa kita dapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMAAT ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2027. Seperti biasa, keba­nyakan kita akan menunggu apa manfaat yang bakal diperoleh. Apakah nilai bantuan akan dinaikkan, subsidi ditambah, ada bantuan baharu atau ada cukai dikurangkan?

Dalam persekitaran geopolitik dunia yang semakin mencabar, rakyat sebenarnya tidak boleh lagi mengharapkan hanya kerajaan yang memberi tanpa mereka membantu atau me­nyumbang dalam pelbagai cara seperti cukai, melakukan penjimatan dan berbelanja ikut keperluan dan kemampuan.

Namun, kerajaan juga harus sedar bahawa rakyat tidak sekadar mahu dibentangkan dengan angka-angka yang gah tetapi mereka juga mahu kerajaan menyediakan gambaran terhadap cabaran pada tahun hadapan dan kesannya kepada kehidupan mereka.

Paling utama, rakyat mahu melihat bagaimana kos sara hidup menjadi lebih terkawal. Inilah yang menjadi topik perbualan awam sejak beberapa tahun lalu. Peningkatan pendapatan termasuk peningkatan gaji minimum tidak akan bermakna jika peniaga mengambil kesempatan sehingga harga barang menjadi tidak terkawal

Persoalannya adalah bagaimana kerajaan boleh membantu meringankan kos sara hidup rakyat tanpa mengorbankan kestabilan kewangan negara. Inilah cabaran besar kepada kerajaan untuk mencari keseimbangan kedua-dua perkara itu.

Selain bantuan tunai dan subsidi yang terus diharapkan serta kawalan harga barangan serta makanan asas, kos pe­ngangkutan, pendidikan, sekolah, infrastruktur dan kesihatan juga mestilah berada pada tahap yang mampu dibayar oleh majoriti rakyat.

Justeru, peruntukan besar dalam sektor kesihatan, pendi­dikan, pengangkutan awam dan perumahan menerusi belanjawan ini sangat diperlukan sebagai pelaburan jangka panjang. Pendidikan teknikal, kemahiran digital dan kecerdasan buatan juga perlu diberi perhatian bagi mewujudkan tenaga kerja yang produktif. Dengan itu, budaya mengharapkan bantuan itu dapat dihapuskan pada masa depan.

Dalam masa yang sama, rakyat juga ada tanggungjawab membantu kerajaan mengukuhkan kewangan negara bukan sahaja dengan berjimat tetapi juga membayar cukai yang secara jujur, tidak menyalahgunakan subsidi, mengurangkan pembaziran, utamakan berbelanja di dalam negara serta beli produk tempatan.

Elakkan berbelanja terutama berhutang pada perkara tidak perlu. Ukur baju di badan sendiri. Itu formulanya. Ramai ge­nerasi muda terperangkap dalam masalah ini. Jangan kerana takut ketinggalan, ramai yang sanggup berhutang. Malah, ada yang sanggup beli tiket F1 baru-baru ini dengan berhutang semata-mata tidak mahu ketinggalan.

Selain itu, tenaga juga perlu digunakan dengan cekap, bukannya mendesak kerajaan menaikkan siling subsidi untuk memenuhi kehendak kita. Harap kerajaan tidak tunduk lagi kepada desakan menaikkan kuota petrol, diesel atau elektrik.

Kerajaan juga perlu memastikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bukan alternatif dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat. Cukuplah dengan skim-skim yang pernah ditawarkan sebelum ini. Kerajaan mesti tegas pertahan prinsip simpanan hari tua ini.

Belanjawan 2027 tentunya bukan mengenai siapa yang mendapat manfaat paling banyak tetapi satu titik temu antara kemampuan kerajaan dan keperluan majoriti rakyat. Kedua-dua pihak mesti berkongsi tanggungjawab demi kesejahteraan bersama.

 

Ismail Daud adalah Pengarang Utusan Malaysia – UTUSAN