KUALA LUMPUR: Golongan selebriti perlu menggunakan pengaruh dan platform yang dimiliki untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri kreatif, khususnya dalam bidang fesyen.
Model dan pelakon filem Ratu, Bkay Nair berkata, peranan selebriti tidak seharusnya terhad kepada menjadi wajah sesuatu produk atau koleksi, sebaliknya mereka boleh membantu meningkatkan keterlihatan, membina permintaan serta memperkenalkan bakat dan karya tempatan kepada khalayak lebih luas.
Katanya, selebriti yang berada dalam ekosistem fesyen mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peluang yang wujud turut dapat dinikmati pemain industri lain.
“Saya percaya sebagai artis dan model, kita juga mempunyai tanggungjawab. Kita berada dalam satu ekosistem yang saling berkait dan jika kita mempunyai platform, kita perlu menggunakan platform itu untuk membuka peluang kepada orang lain.
“Bukan hanya untuk diri kita, tetapi bagaimana kita boleh membantu pereka, pereka grafik, model, jurugaya, jurugambar dan pemain industri lain mendapat peluang. Bagi saya, itu juga sebahagian daripada tanggungjawab selebriti dalam membantu membangunkan ekonomi kreatif,” katanya.
Menurut Bkay Nair, pendekatan itu turut menjadi antara asas kepada penganjuran REKA RONA 2026 yang dilihat bukan sekadar sebuah acara fesyen, tetapi platform untuk membuka lebih banyak peluang dalam keseluruhan ekosistem industri berkenaan.
Bkay berkata, industri fesyen mempunyai ekosistem yang luas dan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pereka atau pertunjukan peragaan.
Sebaliknya, katanya, industri itu turut melibatkan tekstil, kraftangan, produksi, peragaan, fotografi, videografi, penggayaan, solekan, penjenamaan, pemasaran, peruncitan, e-dagang, media serta pengurusan acara.
“Kita mahu peluang itu bergerak merentasi keseluruhan ekosistem. Fesyen juga perlu dilihat sebagai perniagaan yang mampu menjana pendapatan.Kreativiti memang penting, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana kreativiti itu boleh menghasilkan nilai ekonomi, pendapatan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.
Bkay Nair berkata, REKA RONA turut memberi ruang kepada institusi pendidikan, pereka, pelajar, model, artisan, pasukan produksi, media serta pemain industri untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman dalam dunia sebenar.

Katanya, pihaknya tidak mahu menetapkan sasaran angka tertentu berkaitan jumlah peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan kerana matlamat utama acara itu adalah membuka laluan serta peluang baharu dalam industri fesyen.
Dalam pada itu, pelakon ini berkata, REKA RONA 2026 buat masa ini belum dibangunkan sebagai platform pasaran komersial, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan perniagaan menerusi pendedahan, pengalaman industri, pengiktirafan dan keterlihatan, khususnya kepada pereka baharu serta bakat muda.
Bagaimanapun, katanya, Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) mahu melihat acara itu berkembang kepada platform yang menawarkan akses pasaran, peruncitan, e-dagang, kerjasama serta peluang komersial pada masa akan datang.
Menyentuh usaha memperkasakan fesyen tempatan, Bkay Nair berkata, REKA RONA juga selari dengan komitmennya untuk terus memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tekstil tempatan.
“Saya sentiasa memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tempatan kerana saya rakyat Malaysia. Apa sahaja berkaitan Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Menurutnya, warisan tekstil Malaysia bukan hanya terhad kepada batik dan songket, malah merangkumi pelbagai tradisi seperti limar, Pua Kumbu, Tenun Pahang, Keringkam, Linangkit dan telepuk.
Tambahnya,kerjasama dengan Muzium Tekstil Negara penting bagi memberi peluang kepada generasi muda dan pereka baharu memahami kekayaan warisan tekstil tempatan, selain meneroka kaedah menggabungkan warisan dengan reka bentuk serta inovasi.
“Pemeliharaan warisan semata-mata tidak mencukupi. Kita juga perlu melihat bagaimana warisan, kemahiran pertukangan dan kreativiti ini dapat mewujudkan permintaan, menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi.
“Kalau generasi muda memahami warisan kita, melakukan inovasi terhadapnya secara bertanggungjawab, kemudian mencipta permintaan dan nilai komersial, kita bukan sahaja memelihara warisan, tetapi turut membantu memastikan para penggiat seni, kemahiran pertukangan dan ilmu pengetahuan itu terus berkembang,” katanya.
Menyentuh kesinambungan selepas acara, Bkay Nair berkata, lima karya terpilih akan dipamerkan di Muzium Tekstil Negara sehingga akhir tahun, sekali gus memberikan ruang pendedahan tambahan kepada peserta.
Katanya, PEFEM juga mahu terus berperanan sebagai penghubung antara bakat, institusi pendidikan dan pemain industri menerusi peluang jaringan, kerjasama serta pendedahan kepada industri.
REKA RONA 2026 berlangsung pada 2 Oktober lalu di Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur, dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi.
Pada acara itu, Anugerah Bakat Muda dimenangi GIATMARA Ibu Pejabat, manakala Anugerah Kreativiti dan Inovasi disandang Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Anugerah Warisan Terbaik pula dinobatkan kepada Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, manakala Anugerah Rekaan Kontemporari Terbaik menjadi milik Kolej Vokasional ERT Setapak.
Anugerah Rekaan Keseluruhan Terbaik turut dimenangi GIATMARA Ibu Pejabat.











