KOTA BHARU: Hati seorang kakak terdetik adik bongsunya, Al Zubair Deraman, 31, sudah tiada sebaik sahaja menerima panggilan telefon memaklumkan pemuda itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Perak, semalam.
Kakak sulung mangsa, Junaida, 54, berkata, berita sedih itu diketahui selepas anggota dari Balai Polis Taiping, Perak, menghubungi ahli keluarganya kira-kira pukul 4.30 petang bagi memaklumkan kejadian.
“Ketika itu saya terdetik Al Zubair mungkin meninggal dunia. Pada masa sama penghulu kampung datang memaklumkan kejadian tersebut.
“Berikutan kejadian itu, empat adik saya bergegas ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Taiping, untuk membuat pengecaman mayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Sadang di sini, hari ini.
Junaida berkaya, Al Zubair yang juga anak bongsu daripada 12 beradik keluar dari rumah pada pukul 10 pagi Sabtu lalu tanpa memaklumkan kepada keluarga pergi ke mana.
Katanya, Al Zubair juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bersama adik-beradiknya sebelum keluar dari rumah.
“Saya juga dimaklumkan bahawa sebelum kejadian itu, abangnya ada menghubunginya untuk bertanyakan makan tengah hari, tetapi dia tidak mahu.
“Tak sangka pula selepas empat jam kemudian, kami sekeluarga menerima berita sedih. Saya juga difahamkan, dia menaiki kereta Perodua Axia bersama pemandu lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita serta anak perempuan,” ujarnya.
Menurut Junaida, Al Zubair seorang yang rajin bekerja di pasar malam dan seperti biasa akan pulang sebaik sahaja selesai berniaga. – UTUSAN











