KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperketat kawalan di semua pintu masuk sempadan negara bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), termasuk individu yang mendakwa sebagai pelarian menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, tindakan lebih tegas di pintu sempadan perlu bagi memastikan Malaysia tidak dilihat sebagai negara yang mudah dimasuki menerusi sindiket penyeludupan manusia.
Beliau berkata, terdapat pelarian yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit kepada sindiket untuk dibawa masuk ke negara ini kerana melihat wujudnya ruang untuk meloloskan diri melalui kawasan sempadan.
“Negara perlu menghantar isyarat yang cukup jelas kepada pelarian yang hendak masuk ke negara ini, sebanyak mana wang yang dibayar, mereka tidak akan dapat masuk ke negara ini.
“Seperti kebanyakan negara lain di dunia ini, pelarian yang sampai ke Malaysia hampir kesemuanya masuk melalui sindiket penyeludupan manusia.
“Setiap seorang yang hendak diseludup masuk ke negara ini perlu membayar puluhan ribu ringgit kepada sindiket tersebut,” katanya ketika membahaskan sesi penerangan mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada kerajaan, seramai 222,366 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat Jun lalu.
Radzi turut mempersoalkan mekanisme pendaftaran UNHCR, khususnya berhubung kuasa menentukan status seseorang sebagai pelarian.
Katanya, perlu ada penjelasan mengenai mekanisme saringan bagi memastikan tiada pendatang asing tanpa izin yang menggunakan status pelarian untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
“Siapakah yang memberi kuasa begitu besar kepada UNHCR sehinggakan ada pelarian yang merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja dengan adanya kad pelarian UNHCR.
“Sampai bila UNHCR akan diberi kuasa untuk menentukan siapa yang layak ditakrif sebagai pelarian? Jika diberikan kebebasan kepada UNHCR, negara kita yang kita cintai ini akan menghadapi krisis limpahan pelarian,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tempoh penempatan pelarian di Malaysia yang pada asalnya dikatakan bersifat sementara sementara menunggu penempatan ke negara ketiga.
“Kita telah lama dimomokkan oleh UNHCR dan negara-negara maju yang sepatutnya menjadi negara menerima pelarian ini bahawa penempatan pelarian di negara ini hanyalah sementara.
“Kononnya sampai masa mereka akan ditempatkan ke negara ketiga. Suka atau tidak, kita perlu sedar bahawa kita sebenarnya sedang diperbodohkan oleh mereka,” katanya. – UTUSAN










